fbpx

KPT-Masum Knights bukan pasukan kerdil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain yang akan mewakili Masum Knights dalam aksi Divisyen Premier STL 2023 menjelang saingan musim baharu bermula 26 Mei ini. - KPT

SERDANG – Status sebagai ‘budak baharu’ berentap dengan gergasi-gergasi dalam saingan Divisyen Premier Liga Sepak Takraw (STL) musim ini langsung tidak menggentarkan pasukan KPT-Masum Knights.

Sebaliknya, naib juara Divisyen 1 STL 2022 itu bersedia untuk menghadirkan cabaran tersendiri kepada sembilan lawan mereka pada musim baharu yang akan membuka tirainya pada 26 Mei ini.

Malah, Masum Knights juga dilihat berani meletakkan sasaran lima teratas dalam penyertaan sulung di pentas Divisyen Premier walaupun 100 peratus diperkuatkan dengan khidmat anak tempatan tanpa tonggak import.

Jurulatihnya, Ahmad Sufi Mohamed Hashim yang sudah empat tahun mengendalikan pasukan itu, percaya anak-anak buahnya akan berjuang habis-habisan di atas gelanggang untuk membanggakan nama Masum Knights.

“Kami bukan pasukan yang kerdil keranan pemain-pemain pun pernah mewakili negeri masing-masing dan menghadapi lawan-lawan hebat sebelum ini. Mereka akan membawa pengalaman itu ke dalam pasukan ini.

TIMBALAN Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Pekan Ramli (dua dari kiri) menyerahkan lilitan kapten kepada Najmi Syahfiq pada majlis pengenalan pasukan di UPM hari ini. – KPT

“Kita tiada import dan fokus kepada pelajar sahaja kerana kita ada pemain-pemain yang berkualiti untuk menggalas tanggungjawab ini. Saya selalu pesan kepada mereka jangan putus smenagat, lawan dan teruskan usaha.

“Ini satu cabaran dan saya percaya pemain akan menunjukkan kematangan dalam gelanggang nanti,” katanya pada majlis memperkenalkan pasukan KPT-Masum Knights di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Empat muka baharu dibawa masuk kali ini iaitu dua pemain Selangor Pistons, Khairul Hafifi Tajudin (apit kanan) dan Zuhri Zain Mohamad Zain (tekong) selain dua dari Johor Tigris, Nur Haziq Norali (apit kanan) serta Muhammad Aiman Hakim Zakari (apit kiri).

Tujuh daripada lapan pemain Masum-Knights termasuk kapten, Najmi Syahfiq Anuar yang merupakan pelatih skuad kebangsaan tahun ini, pernah memenangi pingat perak acara berpasukan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Tiga pemain iaitu Nur Haziq, Aiman Hakim dan Zuhri Zain pula antara watak penting membantu Johor menamatkan penantian 56 tahun untuk menjuarai Piala Emas Khir Johari hujung tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI