fbpx

Anggota bomba tidak cukup, nisbah 1 bagi 2,238 penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aksi seorang anggota Bomba pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka hari ini. -foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Nisbah kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih tidak seimbang dengan nisbah keanggotaan adalah 1 bagi 2,238 orang rakyat Malaysia.

Perkara itu didedahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming dalam ucapannya pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah keanggotaan terkini pasukan penyelamat itu adalah melebihi 15,000 anggota berbanding populasi rakyat Malaysia yang seramai 33.57 juta.

“Ini menjadikan nisbah keanggotaan adalah satu bagi 2,238 orang rakyat Malaysia.

“Ia ditambah pula dengan jumlah panggilan kecemasan yang perlu dihadiri melebihi 100,000 setiap tahun, saya melihat jumlah keanggotaaan itu sama sekali tidak seimbang,” katanya.

Terdahulu, majlis tersebut yang mengangkat tema ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Mohd Rustam.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dan Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain.

Kor Ming berkata, susulan kekurangan itu, kementeriannya akan meneliti secara komprehensif bagi cadangan penyusunan semula organisasi JBPM secara berfasa.

“Usaha itu melibatkan naik taraf dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong serta mempertimbangkan untuk menambah jumlah keanggotaan JBPM.

“Ia juga merangkumi elemen kebajikan seperti kajian semula skim bomba merangkumi gaji dan elaun yang berkaitan,” ujarnya.

Katanya, pihaknya yakin kertas cadangan itu sedang diteliti oleh JBPM dan Bahagian Sumber Manusia KPKT sebelum ia dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangan dan kelulusan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI