fbpx

YGMB hulur dana RM25,000 buat pesakit kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahdlina menyampaikan sumbangan Walakaf Zakat YGMB kepada penerima di Pulau Pinang sambil diperhatikan oleh Wan Munadi (kanan) hari ini.

GEORGE TOWN – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyalurkan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada seorang ahlinya yang juga warga pendidik di Pulau Pinang bagi meringankan beban merawat kos penyakit kanser payudara yang dihidapinya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, jumlah itu tidak termasuk sumbangan sebanyak RM13,000 lagi yang turut diberikan kepada 10 guru dan 30 murid asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong dan SMK Bukit Jambul di sini.

Ujar beliau, sumbangan itu dibuat menerusi dana Wakalaf Zakat YGMB yang diperuntukkan khusus kepada warga pendidik dan pelajar-pelajar asnaf serta dari keluarga kurang berkemampuan.

Jelasnya, kesemua guru yang menerima sumbangan itu menghidap pelbagai jenis penyakit kritikal dan kini perlu menanggung kos rawatan hospital yang tinggi.

“Sehubungan itu, kita berharap sumbangan daripada YGMB kepada guru-guru kita di Pulau Pinang ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka khususnya dalam mendapatkan rawatan bagi penyakit kritikal yang dihidapi mereka.

“Bagi kanak-kanak asnaf dan kurang bernasib baik pula, kita berharap sumbangan ini dapat menceriakan dan membantu dari segi kos perbelanjaan persekolahan mereka sekali gus menghadirkan kegembiraan serta semangat yang tinggi untuk meneruskan sesi persekolahan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, sumbangan daripada YGMB itu diserahkan kepada para penerima berkenaan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan majlis penyerahan `mock cheque’ Program Wacana Ilmu `Apresiasi Pendidikan’ peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.

Dalam pada itu, Wan Munadi memberitahu, pihaknya menyasarkan sebanyak RM50,000 dapat disumbangkan kepada warga pendidik dan pelajar asnaf di seluruh negara menerusi peruntukan zakat Wakalaf YGMB tersebut sepanjang tahun ini.

“Sasaran kita dalam masa terdekat ini adalah untuk memberi sumbangan kepada guru-guru di Johor yang sebelum ini terkesan akibat bencana banjir besar baru-baru ini.

“Selain itu, kita juga akan menyerahkan sumbangan menerusi zakat ini kepada guru-guru di Negeri Sembilan yang turut menghidap penyakit kritikal dalam masa terdekat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI