fbpx

Ajak kekasih simbah cat, bakar kereta peminjam ah long

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily ketika sidang akhbar berkaitan tangkapan suspek jenayah dan rampasan barangan kes di IPK Pulau Pinang hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Gara-gara mahu mengurangkan jumlah hutang yang dipinjam daripada seorang ah long dari Singapura, dua suspek lelaki tempatan sanggup bertindak membakar dan menyimbah cat pada tiga buah kereta milik peminjam lain di negeri ini, 30 April lalu.

Malah, kedua-dua suspek lelaki itu turut menyeret dua kenalan wanita mereka untuk turut sama bersekongkol melakukan jenayah khianat tersebut.

Bagaimanapun, perbuatan keempat-empat suspek berusia 22 hingga 33 itu akhirnya berjaya dipatahkan pihak polis setelah kesemua mereka ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, hasil risikan menerusi televisyen litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengesan kereta yang dinaiki suspek jenis Toyota Yaris berwarna merah dan berjaya menahannya bersama teman wanita.

“Suspek ditahan di tepi Jalan Kuala Kangsar, Ipoh pada pukul 12.05 tengah malam, 4 Mei lalu dan ketika ditahan, kedua-duanya sedang tidur di dalam kereta tersebut.

“Hasil soal siasat yang dilakukan berjaya membawa tangkapan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak dan kemudiannya menahan seorang suspek wanita di Kampung Simee, Ipoh, 6 Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek lelaki terbabit telah meminjam wang daripada seorang ah long dari Singapura yang dikenali sebagai Tian.

“Dua suspek lelaki ini telah membuat pinjaman ah long sekitar RM1,000 hingga RM2,000 dan mereka menerima arahan terus daripada ah long berkenaan untuk melakukan khianat kepada peminjam lain yang gagal membayar hutang mereka.

“Suspek pertama juga diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet sebelum diagihkan kepada suspek ketiga.

“Teman wanita suspek pertama didapati membantu suspek menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps manakala suspek keempat iaitu seorang wanita berperanan untuk menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat,” katanya.

Jelas Mohd. Shuhaily lagi, keempat-empat suspek aktif melakukan jenayah tersebut sejak pertengahan Mac tahun ini dengan menumpukan di sekitar kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket ini. Suspek pertama, kedua dan ketiga direman tujuh hari manakala suspek keempat direman empat hari iaitu sehingga 10 Mei,” tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951/ Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI