fbpx

Proton antara penyumbang terbesar ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Proton X90 di Pusat Konvesyen MITEC, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Berhad (Proton) merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara menerusi bayaran cukai bernilai RM25 bilion sejak ia ditubuhkan pada tahun 1985.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menjangkakan Proton mampu untuk menyumbang lebih banyak pada masa depan sekali gus memacu industri automotif tempatan terus berkembang maju.

“Sebagai Menteri Kewangan, saya begitu teruja kerana Proton juga antara penyumbang terbesar tabung negara dengan bayaran (cukai) sebanyak RM25 bilion.

“Jadi, saya menjangkakan lebih banyak bayaran akan dibayar dalam beberapa tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada
Majlis Pelancaran Proton X90 dan sambutan Ulang Tahun Proton ke-40, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Proton ketika ini perlu diberikan tumpuan kepada latihan kualiti dalam bidang teknologi baharu.

“Sebelum ini, saya mempunyai peluang lebih awal untuk berbincang bersama Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu.

“Saya berterima kasih kepadanya kerana beliau menyatakan dengan jelas bahawa Geely bersedia menyokong program latihan untuk rakyat Malaysia di Proton dalam meningkatkan kebolehan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, jenama kereta pertama negara itu bukan sahaja kilang yang mengeluarkan kereta, malah ia lebih daripada itu.

“Dari segi sumbangan kepada negara, purata sebanyak RM625 juta setahun dibayar kepada kerajaan dalam lebih 40 tahun kewujudan Proton.

“Justeru, Proton adalah mengenai mencipta keupayaan kejuruteraan. Pada masa ini, kita mempunyai lebih 60 jurutera Proton yang berpangkalan di pusat penyelidikan Geely di Ningbo, China.

“Mereka bertanggungjawab dalam pembuatan kenderaan tenaga baharu Proton untuk masa hadapan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI