PETALING JAYA – Dianggarkan kira-kira 60,000 kenderaan dikenal pasti sedang menawarkan perkhidmatan e-hailing secara haram dan giat beroperasi di seluruh negara terutamanya di sekitar Lembah Klang.
Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Arif Asyraf Ali berkata, perkhidmatan e-hailing tidak berdaftar itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah turut mengundang risiko besar kepada penumpang dan pemandunya.
Katanya, ada juga dalam kalangan pemandu yang mempunyai akaun e-hailing sah turut menggunakan aplikasi haram kerana permintaan tinggi ekoran tawaran harga tambang yang jauh lebih murah.
“Secara dasarnya, pemandu e-hailing yang tidak sah ini memang ramai dan kenderaan yang terlibat saya anggarkan antara 50,000 hingga 60,000 buah.
“Mereka ini akan memuat naik aplikasi e-hailing yang tidak berdaftar di negara ini sebelum menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Arif Asyraf, risiko paling besar sekiranya menggunakan perkhidmatan e-hailing haram adalah kemungkinan untuk pihak insurans menolak segala tuntutan sama ada oleh pemandu ataupun penumpang.
“Kenderaan yang digunakan oleh pemandu e-hailing haram ini juga tidak mengikut piawaian yang ditetapkan. Ini bermakna, risiko kemalangan sangat tinggi. Begitu juga risiko terhadap penumpang yang boleh menjadi mangsa tipu,” tambahnya.
Untuk rekod, lebih 130,000 individu di negara ini memiliki lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing setakat tahun lalu.
Arif Asyraf berkata, aplikasi e-hailing tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang paling banyak digunakan di Malaysia ketika ini adalah berasal dari Russia.
Katanya, aplikasi e-hailing itu tidak lagi boleh dimuat naik melalui App Store kerana telah diharamkan pihak berkuasa, namun ia masih boleh dimuat naik melalui fail Kit Pakej Android (APK) yang dikongsikan melalui media sosial.
Menurut beliau, aplikasi e-hailing haram itu mendapat permintaan daripada orang ramai berikutan tambang yang ditawarkan adalah lebih rendah berbanding aplikasi e-hailing yang berdaftar.
“Aplikasi yang berdaftar menetapkan tambang secara dinamik iaitu kadar tambang boleh meningkat sehingga 20 peratus jika permintaan sedang tinggi, trafik sesak menyebabkan pemandu terpaksa mengambil masa lama untuk mengambil dan menghantar penumpang.
“Ini adalah adil kepada pemandu untuk menampung kos operasi mereka, tetapi ada penumpang yang enggan menerima harga tersebut dan sanggup menggunakan aplikasi tidak sah untuk mendapatkan kadar tambang paling rendah.
“Dalam kes lain, ada pemandu yang ingin menjalankan e-hailing, tetapi kenderaan yang dimiliki sudah tidak layak untuk digunakan. Akhirnya, mereka gunakan aplikasi e-hailing haram dan sanggup menghantar penumpang dengan tambah murah.
“Perbuatan mereka ini sebenarnya menindas pemandu yang mengikut lunas undang-undang. Mereka juga tidak sedar bahawa mereka sedang bergadai nyawa menggunakan perkhidmatan e-hailing tidak berdaftar ini,” katanya.
Menurut beliau, keadaan bertambah sulit bagi pemandu e-hailing yang berdaftar apabila berlaku ‘perang harga’ antara pengendali aplikasi e-hailing yang semakin bertambah.
Justeru, beliau berharap pihak berkuasa dapat menangani kewujudan perkhidmatan e-hailing tidak sah ini, sekali gus menjamin keselamatan penumpang dan juga pemandu.
“Perang harga menyebabkan semua pemandu terkesan. Terpaksa kerja lebih untuk capai sasaran. Patut kerja lapan jam sehari sudah capai sasaran pendapatan, kini perlu kerja lebih 12 jam sehari.
“Keadaan ini jika ditangani boleh menyebabkan risiko kemalangan kerana pemandu terpaksa bekerja lebih masa. Boleh mati dalam kereta kerana overwork,” tegasnya.














