fbpx

JIM luluskan 700 perjawatan baharu tampung kekurangan kakitangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUSLIN (kiri) melihat kelancaran penunggang motosikal melakukan imbasan pasport dan cap jari di kaunter imigresin sebelum memasuki Singapura untuk bekerja di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kerajaan telah meluluskan sebanyak 700 perjawatan baharu Jabatan Imigresen (JIM) pada tahun ini bagi menampung kekurangan kakitangan di pintu masuk antarabangsa utama negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebahagian besar daripada jumlah itu akan ditempatkan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain itu, beliau berkata, JIM juga akan membawa masuk seramai 231 rekrut Imigresen ketiga kawasan tumpuan itu secepat mungkin setelah mereka menamatkan latihan pada 20 Mei ini.

“Daripada jumlah tersebut, JIM akan menempatkan 100 kakitangan baharu itu di CIQ BSI dan KSAB pada akhir bulan ini bagi menampung keperluan perjawatan di sini.

“JIM komited untuk memastikan 100 peratus kaunter dibuka ketika waktu puncak di CIQ BSI dan KSAB sekali gus mengatasi isu kesesakan kritikal di pintu masuk laluan darat tersibuk di dunia yang terletak di Tambak Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau keadaan trafik di CIQ BSI, di sini, pagi hari ini.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, CIQ BSI kekurangan kira-kira 300 kakitangan lagi bagi membolehkan agensi penguat kuasa itu beroperasi sepenuhnya dengan membuka semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.

Katanya, ketika ini CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen dan memerlukan keperluan kakitangan seramai 1,347 orang untuk beroperasi di tahap optima.

Dalam perkembangan lain, Ruslin memberitahu, proses penggabunggan 38 kaunter di Tambak Johor bagi memendekkan masa urusan setiap kenderaan yang memasuki negara ini sedang giat dilaksanakan.

“Setakat ini, sebanyak 19 kaunter sudah selesai menjalani penggabungan membabitkan urusan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan proses Touch N Go, sekali gus memendekkan urusan dokumentasi masuk ke negara ini kurang daripada empat minit.

“Sebanyak 19 kaunter lagi sedang giat menjalani proses penggabungan yang dijangka siap tahun ini selain penambahan 20 ‘autogate’ sedang dilaksanakan sehingga Julai ini.

“Penambahan ruang bas juga dijangka selesai hujung bulan ini di CIQ BSI manakala penambahan 33 kaunter ‘Mbike’ lagi turut sedang dilaksanakan KSAB ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI