SHAH ALAM – Terkandas pada minggu keenam, guru tari profesional Linda Jasmine mendedahkan tahap kesihatan anaknya, Ratu kurang memuaskan sewaktu beraksi di pentas Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Linda tidak menolak keadaannya itu mengganggu prestasi persembahan puteri kesayangannya itu malah kelihat kurang bertenaga.
“Tadi (semalam) dia sebenarnya sakit dan demam. Dia sampai di sini tengah hari manakala saya sampai sebelum rancangan bermula.
“Bila saya sampai mereka kata Ratu demam. Pasukan perubatan periksa tekanan darahnya pun sangat tinggi, jadi saya panik.
“Saya rasa persembahannya agak kurang bermaya hari ini ini sebab tengah demam dan selesema. Perkara itu mungkin menjejaskan persembahannya,” katanya kepada Kosmo! Online usai persembahan, malam tadi.
Bagaimanapun, Linda tetap berbangga atas kesungguhan yang ditunjukkan Ratu sepanjang menyertai pertandingan tersebut.
“Saya sangat bangga dia berjaya sampai ke tahap ini. Saya pun tak sangka sebab dia tiada pengalaman.
“Dia bukan penyanyi, tak pernah buat persembahan besar macam ini. Dia cuma pernah buat satu atau dua persembahan di sekolah tarian.
“Saya rasa bagi seseorang yang tiada pengalaman atau latihan, dia melakukan tugas dengan sangat baik,” katanya lagi.
Disoal hala tuju kerjaya seni Ratu selepas ini, Linda akan berbincang dari hati ke hati sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya berbelah bahagi. Sebenarnya saya belum pasti apa yang terbaik buatnya sekarang.
“Saya kena fikir masak-masak apa yang terbaik buat Ratu. Saya perlu bincang dengannya apa yang dia benar-benar mahu lakukan.
“Jika Ratu pilih jalan ini, dia kena sedar dia kena jaga disiplin selain bersedia fizikal dan mental. Saya tak boleh pimpin tangan dia selamanya,” ujar Linda.
Semalam, Ratu dan Linda meninggalkan pentas TTMM2 selepas menyampaikan lagu Oh! Carol berduet bersama Chubb-E. – KOSMO! ONLINE














