fbpx

MHO rayu NFCC bantu koordinasi agensi penguatkuasaan kes penipuan pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekumpulan mangsa berkumpul untuk menyerahkan aduan kepada NFCC di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu bantuan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk menyelaras dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam menyelesaikan kes sindiket penipuan pelaburan.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, syarikat dikenali sebagai Zutello didalangi warga tempatan dan sebuah aplikasi e-ganjaran dipercayai telah menjerat ratusan mangsa dengan jumlah kerugian ratusan juta ringgit.

“Apa yang kami inginkan adalah satu penyiasatan dan pertuduhan di mahkamah (terhadap sindiket penipuan). Pihak NFCC turut menyatakan komitmen, mereka akan membantu kes ini dengan menyalurkan maklumat kepada agensi siasatan.

“Kita mohon NFCC boleh bantu dari sudut melakukan koordinasi dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat aduan kepada NFCC di Menara Sri Wilayah di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 individu yang merupakan mangsa kepada sindiket penipuan syarikat Zutello dan aplikasi e-ganjaran itu berkumpul sambil membawa plakad memohon siasatan terhadap kes berkenaan.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut turut memohon NFCC supaya dapat mengarahkan agensi penguatkuasaan termasuk polis untuk menjalankan siasatan segera yang bersifat telus dan adil.

Jelasnya, ia berikutan kes membabitkan mangsa penipuan syarikat Zutello diklarifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak polis, sementara kes melibatkan aplikasi e-ganjaran itu sebahagian besarnya pula sebagai Rujuk kepada Lain Jabatan (ROA) atau Rujuk Lain Agensi (RLA). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI