fbpx

Mahkamah: Bebas atau bersalah? nasib Siti Bainun diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun

KUALA LUMPUR – Nasib pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down, Bella akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen di sini.

Keputusan sama ada Siti Bainun, 31, akan dilepas atau didapati bersalah terhadap dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya akan ditentukan Hakim Izralizam Sanusi diakhir kes pembelaan itu.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kesnya apabila peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah pihaknya menutup kes selepas saksi pembelaan kelapan selesai memberi keterangan.

Hakim Izralizam kemudian memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 7 April manakala 14 April bagi hujahan balas sebelum memutuskan esok bagi keputusan sama Siti Bainun akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas dan Shakira Aliana Alias.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah membela diri atas dua pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan yang mana pihak pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke- 22 selesai memberi keterangan.

Untuk rekod perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu (2022) dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain itu ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, kes itu turut menjadi topik hangat dikalangan netizen dalam media sosial antaranya membabitkan isu kecederaan Bella.

Selain itu turut menjadi perdebatan apabila Siti Bainun diwakili lima peguam ketika di peringkat pendakwaan yang mana peguam-peguam yang mewakilinya turut menerima kritikan dan kecaman.

Lima peguam yang mewakili Siti Bainun semasa diperingkat pendakwaan ialah Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan, Nurul Hafidzah Hassan, Nur Ellena Mohamed Razif dan Asiah Abd Jalil.

Bagaimanapun ketika bermulanya bicara bela diri pada 26 Januari lalu, kesemua peguamnya menarik diri.

Meskipun kesemua peguam menarik diri, mahkamah tetap memerintahkan prosiding bela diri diteruskan biarpun Siti Bainun tidak diwakili peguam.
Berikutan itu Siti Bainun kemudian mula membaca pernyataan saksinya.

Dipertengahan ketika bicara bela diri itu berlangsung, Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah, dia melantik semula seorang daripada lima peguam, iaitu Mohammad Farhan, yang sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, untuk mengendalikan kes itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI