fbpx

Jumlah majikan daftar pekerja asing membimbangkan – Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman (tengah), bercakap pada sidang akhbar, di Menara Perkeso, di sini hari ini.- Foto SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesan masih ramai majikan yang masih belum mendaftarkan pekerja mereka yang terdiri daripada pekerja asing.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sejak 1 Januari 2019, hanya 1.2 juta pekerja asing direkodkan aktif mencarum.

Beikutan itu, beliau menggesa majikan terbabit mengambil tindakan segera kerana keperluan untuk mendaftarkan pekerja asing adalah diwajibkan.

“Kebimbangan kami lebih kepada pekerja asing. 52 peratus (1.2 juta) daripada 2.3 juta pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini aktif mencarum dengan Perkeso di bawah perlindungan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Bermakna lebih ramai pekerja asing di luar sana yang masih belum berdaftar,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Dalam masa sama beliau turut memaklumkan, buat julung kalinya Perkeso melaksanakan program pemutihan selama dua bulan berbanding hanya sebulan, sebelum ini.

“Ia bermula dari 1 Mei (semalam) hingga 30 Jun, yang membolehkan majikan mendaftar secara sukarela tanpa dikenakan tindakan pengkompaunan, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) walaupun melewati tempoh mendaftar dan mencarum.

“Selepas itu, diikuti dengan Ops Kesan 2023 pada Julai ini bagi memastikan semua pekerja dilindungi skim. Berdasarkan sebanyak 13 kali Ops Pemutihan dijalankan, ramai yang tak sedar mesej yang disampaikan dan masih belum mendaftar.

“Atas dasar itu kita beri ruang lebih pada tahun ini jadi tiada alasan tempoh diberi singkat, tak dapat maklumat dan sebagainya,” jelasnya.

Tambahnya, Ops Kesan kali ke-14 ini menyasarkan 100 peratus majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji), mendaftarkan perusahaan dan pekerja seperti peruntukan Seksyen 4 dan 5, Akta 4, serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja boleh dikenakan pendakwaan dan tindakan kompaun mencecah RM5,000 mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Rekod Perkeso sehingga 31 Mac 2023, hampir 1.15 juta majikan telah berdaftar di bawah Akta 4 namun jumlah yang aktif mencarum, iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 573,390 majikan.

“Jumlah pekerja aktif pula (sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan) adalah seramai 9.31 juta orang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI