fbpx

Sabarlah ketika memandu, jangan kalut mahu cepat sampai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Debaran menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dirasai sejak awal Ramadan hilang sebaik diumumkan umat Islam akan menyambut hari raya pada Sabtu.

“Macam nak tahu keputusan peperiksaan, lulus atau gagal. Berdebarnya seolah-olah tok kadi depan mata,” itu antara respon tatkala menunggu pengumuman.

Saat sah raya Sabtu, maka terukirlah senyuman di bibir para ibu bapa, rasa lega tidak perlu bersengkang mata memasak juadah raya. Tidak perlu ketuk pintu kedai beli bahan mentah atau cancel pesanan raya.

Bagi si anak, tidak perlu berkejaran pulang ke kampung halaman usai bekerja. Tidak seperti tahun lepas semua huru-hara. Namun hakikatnya itu kenangan manis.

Bagaimanapun raya terkejut tahun lalu membuatkan ramai telah bersedia, memberi seribu satu pengajaran kepada orang ramai untuk tahun ini.

Bersedia dari segala segi, persalinan raya lengkap siap digosok dan segala biskut tersedia dalam balang.

Selain itu, ayam, daging, cili api, bawang dan santan juga semua telah dibeli, hanya tunggu dimasak.

Raya terkejut mengajar kita lebih menghargai kehidupan serta insan tersayang selain kisah hidup yang memerlukan perancangan rapi agar tidak terburu-buru seterusnya menyusahkan orang lain.

Begitulah kehidupan kerana kebanyakan perkara yang terjadi bukan seperti yang kita harapkan. Indah tersusun, namun hidup ini perlu dinikmati bukan ditangisi.

Hari ini hari keempat umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, pastinya ramai yang masih bercuti dan mengunjungi sanak-saudara yang lama tidak bersua.

Aidilfitri, peluang mengeratkan silaturrahim, yang gaduh kembali berdamai, yang bermasam muka kembali bertaut, semuanya indah jika dinikmati.

Bagaimanapun dalam keghairahan, banyak perancangan perlu dibuat bagi perantau yang akan kembali ke tempat kerja masing-masing hujung minggu ini.

Seperti penulis, perjalanan pulang dari kampung halaman di Melaka semalam mengambil masa lima jam, jauh dari kebiasaannya yang hanya sekitar dua jam setengah. Penat sangat memenatkan.

Mengharungi jalan sesak yang tiada punca seperti kemalangan dengan hanya kereta perlahan sungguh menguji kesabaran.

Sebagai pemandu, persiapkanlah diri, baik dari segi fizikal mahupun mental. Pastikan anda cukup rehat dan segar untuk memulakan pemanduan. Lebih 10 juta pengguna jalan raya akan bergerak di jalan raya.

Jika rasa mengantuk, disaran rehat, berhenti dan tidur sebentar. Microsleep sangat bahaya. Satu saat yang boleh menyebabkan ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat bergantung.

Video memaparkan sebuah kereta memasuki laluan bertentangan di Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus pada Jumaat lalu sangat meruntun hati.

Jangan sibuk update status Instagram ketika memandu, lorong kecemasan bukan lorong laju selain peka dengan kenderaan lain yang sibuk tukar lorong.

Kita semua perlu bersabar, semua penat dan mahu pulang memulakan tugas hakiki mencari rezeki, ingatlah kenangan yang tersimpan sepanjang Aidilfitri, jangan jadikan ia kenangan terakhir.

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat pembaca Kosmo!.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI