fbpx

Bekalan air putus, penduduk Tumpat guna air parit sambut 1 Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosnani membasuh pinggan dan mangkuk menggunakan air dari parit di rumahnya di Kampung Kubang Sawa, Tumpat, hari ini. Foto ROHANA ISMAIL

TUMPAT – Kira-kira 2,000 penduduk di enam buah kampung di sini, gelisah untuk menyambut 1 Syawal apabila bekalan air di kampung terbabit terputus sejak seminggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk di sekitar jajaran Sungai Golok iaitu Kampung Simpangan, Pisau Raut, Kampung Derdap, Kubang Sawa, Jejulok, Naga Ibu, di sini, terpaksa mengangkut air di kawasan parit sawah padi untuk mandi dan membasuh.

Penduduk, Rosnani Mat Roni, 47, berkata, dia bersama penduduk di Kampung Kubang Sawa terpaksa menggunakan air parit apabila bekalan air telaga tiub di kebanyakan rumah kering sejak beberapa hari lalu ekoran cuaca kemarau.

Katanya, meskipun ada lori air Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menghantar air ke kampung itu, tetapi ia masih belum dapat menampung keperluan penduduk.

“Ramai yang mahu guna air terutamanya apabila anak-anak dan cucu sudah pulang ke kampung. Air yang dibekalkan oleh AKSB tidak mencukupi.

“Air telaga tiub pun sudah kering ekoran musim kemarau ketika ini. Kami tiada cara lain dan hanya boleh menggunakan air parit di sawah padi berhampiran kampung,” katanya ditemui Kosmo!, hari ini.

Rosnani memberitahu, dia dan kebanyakan penduduk terpaksa membeli air mineral dalam kuantiti yang banyak untuk digunakan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, penduduk kampung Derdap yang mahu dikenali Fauzi, 50, berkata, memang lori AKAB ada menghantar bekalan air, namun ia bergantung kepada aduan penduduk.

Penduduk Kampung Kubang Sawa di Tumpat, Hafiz Shahmi, 17, mengangkut air parit berhampiran sawah padi selepas bekalan air bersih di kampung itu putus sejak seminggu lalu. Foto ROHANA ISMAIL

“Hanya dua buah lori AKSB datang menghantar air ke sini sedangkan yang terjejas akibat tiada bekalan air ini melibatkan ramai pengguna.

“Macam mana kami mahu beraya esok. Mahu mandi dan menyediakan juadah sempena 1 Syawal pun susah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI