fbpx

Lelaki ceroboh balai, gigit jari polis hingga putus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek menggigit jari manis seorang anggota polis sehingga putus, dalam satu kejadian di Balai Polis Sungai Besi, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja mengugut ingin menyimbah asid, seorang lelaki malah bertindak luar kawalan apabila menggigit jari manis seorang anggota polis sehingga putus, dalam satu kejadian di hadapan Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, ketika kejadian yang berlaku pada pukul 10.15 malam itu, pengadu bersama seorang rakan sekerja sedang bertugas.

“Seorang lelaki warga negara berusia 34 tahun datang dan menjerit mahu menyimbah asid. Suspek kemudian menyimbah muka dan badan pengadu menggunakan air botol mineral sebelum bertindak meluru masuk ke dalam perkarangan balai.

“Suspek juga membaling satu tin Red Bull ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah. Setelah itu, berlakunya pergelutan antara pengadu, dua orang rakan sekerja dan suspek.

“Bertindak agresif, suspek kemudian menggigit jari manis tangan kanan salah seorang rakan sekerja pengadu sehingga putus di bahagian hujung jari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Zam Halim lagi, suspek yang mengalami kecederaan ringan berjaya ditangkap dan hasil siasatan mendapati terdapat rekod dikehendaki polis berkenaan satu kes penipuan.

“Ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif ‘Amphetamine’ dan ‘Methamphetamine’ serta suspek pernah mendapat rawatan psikiatri pada tahun 2020, tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 21 April. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI