fbpx

Bukan masanya tutup jalan di Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

DUA laluan sejauh satu kilometer (km) di Gua Musang, Kelantan ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan selama sebulan bagi pemasangan cerucuk Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C sejak 3 April lalu.

Lebih seminggu laluan itu ditutup, pengguna jalan raya menggunakan jalan alternatif melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, hadapan Hospital Gua Musang dan Jalan Pulai sejauh hampir 3 km.

Penggunaan laluan alternatif itu bukan sahaja menambah jarak perjalanan, tetapi penduduk setempat juga perlu tempuh ke­sesakan yang tidak pernah dilalui mereka selama hampir sejam setiap pagi ketika hantar anak ke sekolah atau ke tempat kerja.

Lebih merunsingkan, jalan Tanah Puteh ke pusat bandar Gua Musang merupakan laluan utama perantau terutama dari ibu negara untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Semua sedia maklum, jalan itu sesak setiap kali musim perayaan dan dijangka berganda pada tahun ini. Banyak pihak mencadangkan perantau menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) atau
Lebuh Raya Timur Barat untuk pulang ke Kelantan.

Penggunaan dua laluan itu bukan sahaja menambah masa atas jalan apabila perantau berdepan kesesakan di Terengganu dan Perak, malah jarak perjalanan juga bertambah dari 470km kepada hampir 600km dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Penduduk Gua Musang, Izzat Bukhari, 32, meluahkan, penutupan dua laluan di Gua Musang ketika ini dilihat kurang sesuai terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) sepatutnya menilai semula keputusan penutupan jalan dan waktu kerja pemasangan cerucuk. Bukan mereka tidak tahu jalan ini sesak pada musim raya,” katanya.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili anak perantau di Gua Musang, Pertubuhan Martabat Sejagat (Martabat) turut se­nada dengan luahan masyarakat di daerah berkenaan.

Setiausahanya, Mohd. Khairulhisham Norudin berkata, mengikut jangkaan, kira-kira sejuta pengguna jalan raya akan melalui jalan berkenaan pada minggu ini.

Menurutnya, pihak berkaitan perlu fokus kepada kerja pemasangan cerucuk di laluan lain terlebih dahulu memandangkan penutupan jalan yang dijangka berakhir pada hujung bulan ini berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih panjang.

“Tindakan menutup laluan tersebut selama sebulan juga dikhuatiri memberi kesan terhadap kelancaran trafik terutama­nya bagi anak perantau yang mahu pulang ke Kelantan.

“Berdasarkan perkembangan semasa, kerja-kerja pemasangan cerucuk masih dalam pembinaan dan kita tidak yakin tempoh sebulan mencukupi untuk proses tersebut,” kata kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah JKR Kelantan, Mohd. Suhaili Ismail ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, projek tersebut tidak boleh ditangguh meskipun ada desakan untuk berbuat demikian kerana kerja-kerja pemasangan cerucuk di kawasan berkenaan sudah bermula.

Menurut beliau, selain itu, laluan tersebut juga sudah tidak boleh digunakan oleh semua kenderaan biarpun jika ditangguhkan buat sementara waktu.

“Pemasangan cerucuk sudah dilakukan dan tidak mungkin laluan tersebut akan kembali dibuka semula kepada kenderaan.

“Sekiranya kerja-kerja pemasangan cerucuk ditangguh, ia dikhuatiri akan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI