fbpx

Solat Aidilfitri digalakkan di tanah lapang – Pemangku Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut beberapa hari lagi.

ARAU – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalakkan agar solat sunat Aidilfitri dilaksanakan di tanah lapang kira-kira pukul 8 pagi seperti tahun lalu.

Titah baginda, pemilihan tanah lapang itu adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh negeri ini selaras dengan sunah baginda Rasulullah.

“Walau bagaimanapun, pihak jawatan kuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam masjid sekiranya terdapat keperluan, bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.

“Bagi pelaksanaan solat Aidilfitri selain tanah lapang yang ditentukan oleh pihak jawatan kuasa kariah seperti surau rasmi di negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baginda bertitah, dalam keadaan cuaca yang tidak sesuai, solat Aidilfitri akan dilaksanakan di dalam ruang masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.

“Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari tanah lapang ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi.

“Memandangkan terdapat peningkatan jumlah kes Covid-19 seperti dilaporkan media, maka digalakkan kepada para jemaah untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu seperti memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri,” titah baginda.

Titah baginda, bagi pelaksanaan solat Aidilfitri di kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8 pagi dan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.

“Pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sekiranya 1 Syawal 1444H adalah pada Jumaat bersamaan 21 April ini, maka jemaah yang telah hadir solat Aidilfitri boleh memilih untuk menunaikan solat Jumaat atau solat zuhur berdasarkan riwayat yang sahih daripada para salaf al-Saleh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI