fbpx

Mahkamah: Pemilik Crackhouse dapat sementara pasport tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Rizal (kiri) dan pegumnya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini. -Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pemilik kelab komedi kontroversi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel untuk mendapatkan sementara pasport bagi menunaikan ibadah umrah pada 15 Mei ini.

Hakim N.Priscilla Hemamalini membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Mohamad Rizal, 40, telah mendengar hujahan peguam M. Pravin yang mewakili Mohamad Rizal selaku pemohon.

“Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Mohamad Rizal) untuk mendapatkan pelepasan pasport menunaikan umrah dan pemohon perlu memulangkan pasport pada 31 Mei ini,” kata hakim itu.

Terdahulu, Pravin dalam hujahnya berkata anak guamnya memerlukan pasport itu untuk ke Mekah, Arab Saudi bagi mengerjakan umrah dan akan pulang ke negara ini pada 29 Mei ini.
Pasport antarabangsa anak guam saya dikembalikan secepat mungkin,” kata peguam itu.

Sementara itu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Abu Bakar selaku responden tidak membantah terhadap permohonan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Rizal didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 tengah hari pada 13 Julai tahun lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, pada 6 April lalu mahkamah sama menetapkan 31 Mei bagi keputusan representasi kedua Mohamad Rizal untuk menggugurkan tiga pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI