fbpx

Orang Asli fail saman sivil tuntut hak tanah adat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA masyarakat Orang Asli kaum Semai dari Pos Lanai yang hadir di Mahkamah Tinggi Temerloh di Temerloh, hari ini.

TEMERLOH – Penduduk Orang Asli Pos Lanai, Kuala Lipis memfailkan saman sivil berhubung hak tanah adat mereka terhadap kerajaan negeri Pahang dan Persekutuan di Mahkamah Tinggi Temerloh, di sini hari ini.

Seramai 147 masyarakat Orang Asli suku kaum Semai itu bertindak sebagai plaintif bagi memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan mereka sebagai pemegang hak tanah adat tunggal di Kampung Pos Lanai.

Mereka yang diwakili peguam Harneshpal Singh Bhullar dan Tetuan Lui & Bhullar menamakan kerajaan negeri Pahang dan kerajaan Persekutuan, Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian, Pengarah Jabatan Perhutanan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif memohon deklarasi supaya kerajaan negeri Pahang diarahkan untuk mewartakan tanah seluas kira-kira 14,418 hektar yang terletak di Mukim Ulu Jelai dan Hutan Simpan Ulu Jelai sebagai kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli di bawah Akta Orang Asli 1954.

Plaintif juga memohon mahkamah mengeluarkan deklarasi bahawa defendan tidak mempunyai hak untuk mengurangkan atau memusnahkan hak plaintif terhadap tanah itu atau melaksanakan aktiviti yang boleh menjejaskan tanah tersebut.

Dalam permohonan itu, plaintif mendakwa mereka adalah penduduk di tanah tersebut, diwarisi daripada nenek moyang, yang digunakan untuk menyara kehidupan menerusi aktiviti seperti pertanian dan mengutip hasil hutan, selain mengekalkan hubungan tradisional dengan kawasan berkenaan.

Mereka mendakwa berlaku beberapa insiden pencerobohan terhadap tanah itu sejak 2013 antaranya bagi cadangan pembinaan empangan hidroelektrik yang telah dibatalkan pada 2018, pembalakan dan kajian cadangan perlombongan nadir bumi, yang didakwa akan menyebabkan kerosakan tanah dan kesulitan kepada mereka.

Defendan kerajaan negeri pula diwakili Dorah Abdul Kadir dan Intan Nazurah Mohd Zailani manakala defendan kerajaan persekutuan diwakili oleh Fadzillah Ishak.

Prosiding dilakukan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Nor pada hari pertama melibatkan seorang saksi, Jeffry Hassan, 36 yang juga penduduk kampung tersebut.

Bagaimanapun, Roslan kemudiannya menangguhkan prosiding tersebut yang akan bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI