fbpx

Fahmi Fadzil kongsi diganggu scammer mengaku Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika menjawab soalan media pada Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama YB Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur, malam ini. Foto oleh SADDAN YUSOFF/ KOSMO!

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkongsi pengalaman dirinya diganggu scammer yang mengaku sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, pagi tadi.

Katanya, secara tiba-tiba beliau menerima satu kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali namun gambar profil menunjukkan Nancy.

“Saya nak cerita, pagi tadi saya terima satu WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Datuk Seri Nancy Shukri, gambar dalam WhatsApp itu gambar Datuk Seri Nancy.

“Tapi bila beliau menghantar mesej kepada saya, beliau menggunakan perkataan ‘Assalama’alaikum’ dan saya lihat ini ada something (sesuatu) yang tidak kena, maka saya berhubung dengan Datuk Seri Nancy pagi tadi lepas subuh.

“Datuk Seri Nancy cepat-cepat call (hubungi) saya dan beliau kata, YB Fahmi this is not my number (ini bukan nombor saya) dan ia bukan saya dan saya juga tidak menggunakan perkataan (Assalama’alaikum) seperti itu, saya selalu cakap ‘Salam’,” kongsinya kepada pemberita.

Terdahulu, Fahmi menyantuni kira-kira 400 pengamal media dalam Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama YB Fahmi Fadzil, di sini malam ini.

Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan daripada nombor atau individu yang tidak dikenali.

Tambahnya lagi, menjadi satu keperluan untuk membuat semakan mengenai identiti si pemanggil sebelum melanjutkan perbualan.

“Jadi apabila kita dapat tahu perkara seperti itu, kita sahkan dahulu adakah orang yang memanggil atau berhubung dengan kita itu dalam apa jua platform, adakah mereka adalah orang yang sebenar-benarnya identiti itu.

“Kalau tak pasti jangan kongsi, kalau tak kenal jangan sambungkan perbualan. Jika ada di antara kita jadi mangsa, tolong segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 untuk bantuan,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI