fbpx

Serang penduduk Palestin adalah perbuatan keji – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera zionis Israel menceroboh perkarangan Haram Al-Sharif serta serangan tidak terhadap jemaah awam Palestin di Masjid Al-Aqsa sejak beberapa hari lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tentera zionis Israel tersebut yang terus dilakukan di saat ini merupakan perbuatan keji dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi ia dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya, perbuatan biadab rejim zionis tersebut dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L.32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

“Justeru, kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin.

“Serangan keterlaluan dan provokatif ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Ujarnya, laporan media turut menyatakan bahawa keganasan yang sama turut berlaku setiap bulan Ramadan pada tahun 2021 dan 2022 serta peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Ketegangan antara Israel dan Palestin telah mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini. Adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima.

“Sebagai anggota Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang telah secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI