fbpx

Pegawai polis didakwa palsukan penyata kewangan Perkep Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Ipoh

IPOH – Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan penyata kewangan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perak, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Saerah Dollah, 42, yang juga Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah itu  bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jessica Daimis.

Mengikut pertuduhan, Saerah didakwa dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu penyata kewangan Perkep Kontinjen Perak tahun 2019 di mana tertuduh mempunyai sebab untuk percaya bahawa dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh yang merupakan ibu kepada dua anak itu melakukan perbuatan tersebut di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada 28 Februari 2020.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, iaitu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said dan Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam, R. R. Segaran.

Terdahulu, Saiful Akmal menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin namun Segaran memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu memandangkan anak guamnya adalah kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mempunyai tanggungan dua anak selain penjamin adalah suami kepada tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI