fbpx

Pemandu maut lori terhumban ke dalam laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA kren digunakan bagi menarik lori dan pemandunya yang terjatuh ke dalam laut di jeti Lumut Maritim Terminal, Kampung Acheh, Sitiawan pagi tadi. - IHSAN BOMBA

LUMUT – Seorang lelaki ditemui lemas apabila lori yang dipandunya terjunam ke dalam laut di jeti Lumut Maritim Terminal, Lumut Port, Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Aqil Rasydan Razmi, 20, ditemui di dalam kabin tempat duduk pemandu lori tersebut apabila kenderaan itu berjaya dinaikkan kira-kira pukul 9.45 pagi ini, lebih kurang empat jam selepas kejadian itu dipercayai berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd. Azizi Zakaria menjelaskan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.30 pagi mengenai kejadian itu.

“Ia berlaku ketika air pasang menjadikan kedalaman tempat kejadian dianggarkan 15 meter dan sepasukan anggota BBP diketuai saya dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pulau Pangkor bergegas ke situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, maklumat daripada pihak pelabuhan mengesahkan hanya seorang mangsa terlibat dan kapal berdekatan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi penyelamatan.

Jelas beliau, pihaknya menggunakan dua kren untuk menarik lori tersebut ke jeti dan berjaya dilakukan ketika air mulai surut dengan kedalaman antara 10 hingga 11 meter.

Beliau memaklumkan, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI