BALIK PULAU – Tiga lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan wang jualan sebuah syarikat menjual vape bernilai RM505,674 semalam.
Menerusi kenyataan di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD), tiga suspek berusia antara 22 hingga 25 tahun itu ditahan secara berasingan di kawasan Bayan Lepas dan George Town.
“Tiga suspek ini ditahan kerana telah melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan produk syarikat iaitu sebanyak 28,093 botol vape yang bernilai RM505,674. Kegiatan pecah amanah ini dilakukan menerusi transaksi akaun bank persendirian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang giat dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dan seorang lelaki berumur 30 tahun semalam selepas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.
Katanya, sindiket penipuan itu mengakibatkan mangsa menghadapi kerugian berjumlah RM61,946. – KOSMO! ONLINE














