fbpx

Tiada adab tulis berita saya meninggal dunia – Sherie Merlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERIE kesal dengan laporan berita palsu sebuah blog menulis perihal khabar kematian dirinya yang diterima daripada adiknya beberapa hari lalu.

PETALING JAYA – Pelakon serba boleh Sherie Merlis jelas kecewa dengan tindakan sebuah blog yang menulis berita tidak betul mengenai dirinya didakwa sudah meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Ujar Sherie atau nama sebenarnya Sharifah Saadah Wan Zainal Abidin, perbuatan tersebut sangat tidak bertanggungjawab kerana pihak terbabit menulis sesuatu yang sangat penting dan sensitif tanpa adab melibatkan nyawa seseorang.

“Pihak yang mengeluarkan berita atau kenyataan ‘Sherie Merlis meninggal dunia’ tanpa ada rasa tanggungjawab untuk pastikan kesahihan dan butiran hal tersebut.

“Apabila perkara yang penting dan sensitif sebegini mereka kendalikan tanpa adab, lalu tanpa sedar, ini jelas memperlihatkan tiadanya ilmu-ilmu mereka berkaitan hal ini,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Tambah Sherie, 51, jika benar berita tersebut sahih, sudah tentu ahli keluarga rapat iaitu adik-beradik dan anak-anaknya terlebih dahulu mendapat tahu perihal kematiannya.

Justeru apabila berita palsu tersebut sampai kepada ahli keluarganya ujar Sherie, perkara berkenaan mendatangkan dukacita dan membuatkan mereka terkejut.

“Ini berita yang diterima oleh keluarga (adik-beradik saya). Berita ini bukan sekadar mendatangkan dukacita dan terkejut buat keluarga kerana jika sahih khabar ini, sudah semestinya mereka yang akan terlebih tahu,” ujar Sherie.

Nyata terkejut selepas mendapat perkhabaran tersebut, pelakon siri Nenek Bongkok Tiga itu memohon ruang dan meminta agar semua pihak yang mengenali berhenti menghubunginya buat masa ini.

Dalam perkongsian tersebut, Sherie memuat naik kiriman mesej daripada salah seorang adiknya yang menghantar tangkap layar sebuah blog menulis tentang berita kematiannya.

Tajuk ditulis blog tersebut dengan jelas berbunyi: “Innalillahi, khabar duka dari pelakon Sherie Merlis telah meninggal dunia.”

Perkongsian yang dimuat naik Sherie mengundang perhatian ramai daripada kenalan artis dan peminat apabila masing-masing meluahkan rasa kecewa melihat pelakon itu menjadi mangsa fitnah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

“Allahuakbar, makin menjadi-jadi fitnah-fitnah ini,” komen pelakon Bell Ngasri.

“Ini tandanya panjang umur kak, amin. (Cari sampai lubang cacing),” kata seorang pengikutnya yang berharap Sherie mengambil tindakan terhadap pemilik blog tersebut.

Sebelum ini, ramai artis tempatan menjadi mangsa berita palsu tulisan blog-blog tidak bertauliah antaranya Datuk M. Daud Kilau, Datuk Jalaludin Hassan, Datuk Khadijah Ibrahim dan Ezad Lazim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI