fbpx

Kerjasama UniKL, IRSE iktiraf program profesional di peringkat antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi (kiri) bersama Charles Hay (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Roziah Omar (dua kiri) dengan Andy Knight (dua kanan) pada Majlis Menandatangani MoU antara UniKL dan IRSE, hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Universiti Kuala Lumpur Pusat Rel Asia (UniKL ARC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan badan pelesenan antarabangsa berpangkalan di United Kingdom (UK), Institute of Railway Signal Engineers (IRSE).

Melalui kerjasama itu, UniKL ARC telah dilantik sebagai pusat untuk menawarkan program pembangunan profesional dalam bidang sistem kawalan isyarat.

Antara program yang ditawarkan adalah kursus di peringkat Diploma Lanjutan dan Sijil Kecekapan (CoC) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dengan pensijilan daripada IRSE, graduan yang dihasilkan bukan sahaja boleh bekerja dan diiktiraf di Malaysia, tetapi juga di ASEAN.

“Kita (UniKL) satu-satunya universiti di Asia yang mendapat pengiktirafan sedemikian dan ini amat mustahak dan penting.

“Bukan sahaja pelajar Malaysia yang kita fokuskan untuk mendapat latihan dan ilmu dalam bidang industri kereta api, tetapi paling penting adalah satu ‘niche area’ (bidang khusus) yang kita nak tawarkan kepada pelajar daripada luar negara juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani MoU antara UniKL ARC dan IRSE di Univesiti Kuala Lumpur Malaysia Italy design Institute, di sini hari ini.

Terdahulu, pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr. Roziah Omar dan Presiden IRSE, Andy Knight yang disaksikan Asyraf Wajdi bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay.

Asyraf yang juga Pro Canselor UniKL berkata, sistem kawalan isyarat untuk pengangkutan rel adalah permintaan yang tinggi dalam pasaran pekerjaan dengan peluang kerjaya yang luas untuk graduan UnikL.

Justeru, katanya, bagi menyokong kerjasama tersebut, Mara telah meluluskan pinjaman pendidikan untuk pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam sistem Kereta Api.

“Program tiga tahun ini disertakan dengan sijil kecekapan oleh IRSE sekali gus memberi nilai tambah kepada graduan UnikL dalam pasaran pekerjaan di peringkat global,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI