fbpx

Lelaki Sikh miliki janggut terpanjang di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUAT kali ketiga, Sarwan Singh memegang rekod janggut terpanjang pada orang yang masih hidup. Dia memiliki janggut berukuran 2.54 meter (m).

Sarwan yang berasal dari Kanada pada mulanya mengukur janggutnya pada 2008 dan mempunyai panjang berukuran 2.33m, sekali gus memecahkan rekod dunia 1.77m dipegang oleh Birge Pellas dari Sweden.

Sarwan kemudian mengukur janggutnya sekali lagi di Rome, Itali pada 2010 untuk terus memegang rekod itu dengan ukuran janggut 2.495m.

Tetapi apabila diukur semula pada Oktober lalu, janggutnya itu semakin panjang daripada sebelumnya.

Sarwan yang menganut agama Sikh tidak pernah mencukur janggutnya.

“Sejak usia awal 17 tahun, janggut mula tumbuh dan saya telah mengekalkannya dengan cara yang sama sehingga kini,” katanya.

Dalam pada itu, garis panduan utama untuk memegang rekod itu adalah janggut mestilah semula jadi dan ia diukur dalam keadaan basah supaya tidak menjejaskan panjang ukurannya.

Setiap hari, Sarwan melakukan rutin yang panjang untuk merapikan janggutnya.

Malah, dia sangat menjaga setiap helai janggutnya.

Setiap pagi, dia akan membuka ikatan janggutnya dan membentangkannya ke dalam tab mandi.

Kemudian Sarwan merendam janggutnya sehingga basah sepenuhnya.

Langkah seterusnya, dia akan syampu janggutnya perlahan-lahan dari atas ke bawah. Sarwan akan pastikan dia membersihkan setiap helai janggutnya.

Sebaik sahaja selesai di syampu, dia membilas janggutnya dengan teliti menggunakan perapi.

Dia kemudian mengambil masa lebih 10 minit untuk mengeringkan janggut sepenuhnya.

Setelah kering, Sarwan menyikat keseluruhan janggutnya dengan minyak dan gel.

SARWAN mempunyai rutin tersendiri bagi penjagaan janggutnya.

Kebiasaannya, dia akan mengikat janggutnya sepanjang hari dan hanya membukanya apabila menghadiri majlis-majlis khas atau upacara keagamaan.

Untuk mengekalkan janggut yang sebegitu panjang memerlukan satu usaha yang keras.

Namun Sarwan berkata, dia menyayangi janggutnya dan tidak pernah mengalami sebarang kesulitan dalam penjagaannya.

Menurutnya, dia sentiasa mengatasi sebarang cabaran yang dihadapi apabila berjanggut panjang dan berharap ia akan lebih panjang.

“Saya menganggap janggut ini adalah anugerah Tuhan.

“Ia dilihat sebagai salah satu aspek terpenting untuk menjadi seorang Sikh,” katanya.

Rambut dan janggut tidak dipotong adalah salah satu daripada lima perkara iman yang wajib bagi seseorang Sikh.

Seorang lelaki Sikh juga mudah dikenali melalui janggutnya yang panjang.

“Sikh mempunyai lima Kesh yang merupakan satu rukun. Rambut dan janggut adalah salah satu Kesh paling penting.

“Tanpa Kesh, seorang Sikh bukanlah Sikh,” kata Sarwan.

Sarwan berpindah ke Kanada apabila dia dijemput untuk menyanyikan lagu-lagu agama di Kuil Emas.

Apabila dia tiba, masyarakat Sikh tempatan memintanya agar tinggal di situ dan mendidik mereka tentang ajaran guru.

“Janggut ini merupakan sesuatu yang dianugerahkan oleh tuhan dan bukan pencapaian peribadi.

“Saya bertuah kerana dipilih untuk menjadi orang yang mempunyai janggut terpanjang.

“Sebagai orang Sikh, kami memelihara janggut dan saya bertuah kerana mempunyai janggut terpanjang di dunia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sarwan percaya bahawa mereka yang mempunyai keupayaan memelihara janggut wajar dihormati dan menganggap ia sebagai satu rahmat.

“Apa-apa yang diberikan oleh Tuhan harus dipelihara dengan sebaiknya.

“Jadi, jika ia tumbuh anda harus membiarkannya terus tumbuh sehingga panjang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI