fbpx

Jabatan Kesihatan keluarkan 34 notis terhadap peniaga bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR AZIMI (dua kiri) meninjau sebuah gerai di Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan semalam.

PEKAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengeluarkan 34 notis kepada peniaga bazar Ramadan yang didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang minggu pertama Ramadan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, dalam pemeriksaan terhadap 892 gerai makanan di Bazar Ramadan itu sebanyak 34 Notis Memerintah Kehadiran Ke Mahkamah Seksyen 32B Aka Makanan 1983 telah dikeluarkan kepada pengendali makanan dengan nilai RM3,500.

“Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Aka Makanan 1983 ialah 24 kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan serta lima kesalahan di bawah Peraturan 33 iaitu pengendali makanan gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan.

“Selain itu sebanyak 30 sampel makanan sedia dimakan telah diambil pada minggu pertama Ramadan dan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi,”katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran ‘Walkabout’ Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang di Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini semalam.

Menurut Nor Azimi, mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya di bawah seksyen yang sama.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 17 buah kilang ais telah diperiksa dan 13 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan nilai RM8,650 kerana pemilik gagal mengadakan dan menyediakan Program Jaminan Keselamatan Makanan.

“Pemilik yang dikenakan tindakan itu juga didapati tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan dan pengendali makanan tidak mengenakan apron semasa mengendalikan ais,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI