fbpx

Adakah misi 10 emas olahraga negara mustahil?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

KILAUAN 10 pingat emas yang menjadi sasaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh mulai 5 hingga 17 Mei depan mampu memberikan tekanan tinggi kepada barisan atlet.

Apa tidaknya, skuad olahraga negara tidak pernah melepasi angka 10 pingat emas selepas kali terakhir memenangi 12 emas ketika penganjuran edisi 1999 di Bandar Seri Begawan, Brunei.

Sejak itu, pencapaian terbaik kem olahraga adalah lapan pingat emas yang dimenangi ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017.

Justeru, sasaran yang diletakkan di Kemboja kali ini sememang­nya sukar untuk direalisasikan
oleh atlet-atlet olahraga berdasarkan prestasi semasa mereka sejak kebelakangan ini.

Bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad berpendapat, sasaran 10 pingat emas bagus dari segi motivasi para atlet tetapi badan induk olahraga itu juga perlu melihat kepada persiapan negara-negara lain.

“Bagi saya sasaran 10 emas itu terlalu tinggi. Kita perlu lihat semula catatan atlet kita di pe­ringkat Asia Tenggara, adakah berada di kedudukan nombor satu bagi acara-acara yang kita letakkan sebagai sasaran emas?

“Tidak dinafikan, apabila KOM letak sasaran 10 emas, ia mungkin bagus untuk beri motivasi kepada jurulatih dan atlet tapi kita perlu melihat juga kekuatan kita.

“Kalau boleh dapat lebih daripada lima emas, ia adalah bonus dalam persiapan menghadapi temasya 2025 (Bangkok, Thailand) dan kemuncak untuk 10 emas itu pada 2027 di Kuala Lumpur,” katanya.

Bukan mahu menidakkan keupayaan barisan atlet tetapi realistiknya negara-negara lain terutama dua kuasa besar Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam melakukan persediaan lebih rapi berbanding Malaysia.

Atas kertas, empat emas di Kemboja boleh dikatakan hampir pasti menjadi milik Malaysia menerusi jaguh lompat kijang, Andre Anura Anuar, Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi).

Kem olahraga perlu mengharapkan dua atlet wanita, Nor Sarah Adi (lompat bergalah) dan Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi) mengekalkan pingat emas seperti dimenangi mereka pada Sukan SEA Vietnam 2021.

Dua pemenang pingat emas 100 meter (m), Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi menjadi pertaruhan sekali gus merampas gelaran raja pecut Asia Tenggara daripada Puripol Boonson dari Thailand.

Pemegang rekod 100m kebangsaan yang sedang ‘berguru’ di AS, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi percaya dua pelari negara itu mempunyai pengalaman untuk membuat kejutan.

“Saya amat berharap mereka dapat kekalkan konsisten untuk menaiki podium terutama bagi acara lari berganti-ganti (4x100m). Saya yakin dengan pres­tasi semasa mereka,” kata Azeem yang tidak dapat turut serta ke Kemboja kerana komitmennya bersama Universiti Auburn di Alabama.

Selain itu, tiga lagi atlet wanita, Yap Sean Yee (lompat tinggi), Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera) dan Shereen Samson Vallabouy (400m) perlu menghadirkan magis mereka dalam misi mencapai sasaran 10 emas.

Jika gagal menepati sasaran, sekurang-kurangnya temasya itu menjadi pentas pendedahan kepada ramai atlet muda yang diberi peluang untuk mewakili negara ke pentas Sukan SEA.

Namun, jika dicapai, ia bermakna kem olahraga kembali menjadi penyumbang emas terbesar buat kontinjen Malaysia pada temasya itu nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI