fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid berjaya peroleh semula pasport secara kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. -Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjaya memperoleh semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal di Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Datuk Hanipah Farikullah selepas membenarkan permohonan Ahmad Zahid, 70, untuk mendapatkan semula kedua-dua dokumen perjalanan itu secara kekal.

Dalam keputusannya, Hanipah berkata panel-panel berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat Ahmad Zahid mempunyai merit.

“Mahkamah sudah meneliti hujahan pemohon, oleh itu mahkamah membenarkan perintah yang dipohon oleh pemohon,” kata hakim Hanipah.

Dua lagi panel hakim yang turut bersidang hari ini ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

Semasa prosiding responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, ketika ditemui selepas prosiding berkata, jaminan RM2 juta yang dikenakan mahkamah tinggi sebelum ini dikekalkan.

Pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

Ia berikutan pada 3 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Ahmad Zahid bagi beliau memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Berdasarkan notis usul yang difailkan, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

Sementara menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata, Hakim Collin terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

Ahmad Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI