fbpx

Ismail Sabri imbau kenangan berbuka dengan 15 pelajar tahfiz maut kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) menunjukkan gambar kenangan ketika program berbuka puasa pada 2015 bersama sebahagian besar penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – “Saya ada nilai sentimental dengan pusat tahfiz ini kerana 15 daripada pelajar yang terkorban pernah bersama-sama berbuka puasa dengan saya sebelum kejadian kebakaran”.

Demikian luahan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui pemberita di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, hari ini selepas menyerahkan 100 pek makanan sempena Program Kongsi Rezeki Ramadan.

Menurut Ismail Sabri, sebelum insiden kebakaran yang telah mengorbankan lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar dalam kejadian awal pagi 14 September 2017 lalu, beliau sempat mengenali sebahagian besar pelajar pusat tahfiz itu.

“Saya ada buka puasa dengan mereka 33 bulan sebelum kejadian kebakaran itu berlaku dan ketika itu saya bertugas di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Yang bersama saya sewaktu program ada 15 pelajar antara yang terkorban dalam kebakaran. Saya ada datang melawat ke pusat tahfiz selepas kejadian kebakaran untuk santuni mereka yang terkesan,” katanya.

Katanya, pada awal kejadian, pihaknya menganggap insiden kebakaran tersebut berpunca daripada masalah litar pintas yang berlaku di pusat tahfiz.

Sehubungan itu, beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, meminta Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membuat semakan semula sistem pendawaian di seluruh pusat tahfiz di negara ini bagi memastikan berada dalam keadaan selamat.

“Sewaktu itu kita tak tahu punca kebakaran, dan kita menganggap kebakaran itu mungkin sebab litar pintas elektrik.

“Sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu dan Mara di bawah saya dan kita buat keputusan seluruh tahfiz yang mempunyai masalah pendawaian, pihak Mara akan buat pendawaian baharu semula.

“Sebab kita tahu kebanyakan sekolah tahfiz keadaannya tidak terurus dengan baik dari segi struktur bangunan, pendawaian dan sebagainya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI