fbpx

Anwar gesa penglibatan syarikat swasta, GLC dalam aktiviti wakaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2023 yang disiarkan secara langsung hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penglibatan daripada mana-mana individu, persatuan, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan aktiviti juga inisiatif yang boleh menyemarakkan konsep wakaf di Malaysia.

Anwar berkata, wakaf merupakan suatu tradisi sejak dari zaman Nabi Muhammad S.A.W dan manfaatnya dapat dilihat apabila ia banyak melahirkan bukan sahaja masjid, tetapi pusat pengajian universiti utama dunia Islam termasuk Universiti Al-Azhar.

“Aktiviti wakaf ini merupakan tradisi yang mesti dihidupkan dan mereka (syarikat atau inidividu) boleh memilih untuk menetapkan kaedah dan keutamaaan dalam bidang-bidang tertentu.

“Pada masa sama, tanah-tanah wakaf sedia ada juga akan kita kaji dan teliti untuk ia dapat dibangunkan seperti mana yang telah kita laksanakan di tempat-tempat lain seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video ucapan bersempena Majlis Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2023 yang disiarkan secara langsung menerusi siaran TV Hijrah hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia tidaklah ketinggalan dalam soal wakaf walaupun disifatkan oleh beliau sebagai tidak sebesar negara jiran Indonesia.

“Sebab itu menjadi inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyemarakkan aktiviti wakaf sebagai ikhtiar dan tunjakan dalam menggalakkan umat Islam tanpa mengira siapapun untuk melihat wakaf sebagai satu tradisi yang mesti dihidupkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan mengumumkan tentang pembentukan Wakaf Madani dengan aset RM1 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 secara lebih terperinci dalam masa terdekat.

“Dalam pembentangan belanjawan saya telah umumkan tentang pembentukan Wakaf Madani bermula RM1 bilion dan insya-Allah dalam masa terdekat kita boleh umumkan secara lebih terencana apakah maksud Wakaf Madani dan langkah yang harus dilakukan untuk memajukan kegiatan wakaf keseluruhannya,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI