fbpx

7 ahli sindiket penipuan guna Kit Pakej Android ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh individu termasuk empat warga asing terbabit dengan kegiatan sindiket penipuan ‘Android Package Kit’ (APK) berjaya ditahan menerusi serbuan di dua unit premis di Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tujuh individu terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan empat warga asing yang berusia di antara 20 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan.

Menurut Azmi, pihaknya turut merampas lima unit komputer dan 28 buah telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah menggunakan platform jual beli barang dalam talian untuk memperdayakan mangsa supaya memuat turun fail APK.

“Fail APK ini membolehkan sindiket menggunakan kad debit mangsa kerana mangsa telah memasukkan maklumat perbankan mereka ketika proses memuat turun fail dijalankan.

“Kesan muat turun fail berkenaan, kad debit mangsa akan digunakan melalui aplikasi pembayaran elektronik tanpa mangsa sedari,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, sindiket tersebut telah beroperasi selama tiga bulan di sekitar Kuala Lumpur.

“Kesemua ahli sindiket yang bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan mendapat tawaran gaji sebanyak RM4,000.00 sebulan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran dari mana-mana pihak yang tidak dikenali serta berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang fail daripada sumber yang tidak sah.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan, sila laporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI