fbpx

Bayar yuran taska secara ansuran, kurangkan beban ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEMALAM merupakan hari pertama sesi persekolahan 2023/2024 di seluruh negara kecuali Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor yang bermula lebih awal iaitu pada Ahad.

Setiap kali bermulanya sesi persekolahan, ibu bapa perlu mengeluarkan wang bagi menyediakan pelbagai kelengkapan sekolah seperti pakaian, kasut dan buku.

Itu belum lagi termasuk perbelanjaan sampingan lain seperti kos transit anak selepas pulang dari sekolah, pengangkutan dan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Penulis sendiri telah berhabis sebanyak RM500 untuk anak sulung yang memulakan sesi persekolahan darjah satu pada tahun ini. Kalau bagi orang berduit, jumlah ini kecil saja. Jika orang itu gajinya hanya cukup-cukup makan saja, ia pastinya sangat membebankan.

Tambah memeningkan kepala, jika seseorang itu mempunyai anak yang masih di taska atau tadika swasta. Yuran pendftaran sahaja sudah mencecah RM1,500.

Difahamkan, yuran pendaftaran tersebut merangkumi kos alat tulis, buku-buku dan keperluan lain yang diperlukan sepanjang tempoh setahun.

Yuran berkenaan perlu dibayar secara sekali gus tanpa ada sebarang kelonggaran oleh pihak taska.

Situasi ini sangat membebankan kepada sesetengah ibu bapa, terutamanya Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Justeru, penulis mencadangkan kepada pihak taska supaya memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk membayar yuran pendaftaran taska atau tadika secara ansuran mengikut kemampuan mereka.

Misalnya, setiap bulan, ibu bapa tersebut membayar RM300. Jadi, dalam tempoh lima bulan, yuran pendaftaran berkenaan boleh diselesaikan.

Jika perlu, pihak taska juga boleh membahagikan yuran pendaftaran tersebut mengikut semester iaitu dua semester bagi tempoh setahun.

Ibu bapa hanya perlu membayar RM750 untuk setiap semester. Itu lebih bagus dan meringankan beban ibu bapa, terutamanya yang mempunyai anak ramai.

Tidak perlu bayar secara sekali gus dalam situasi ekonomi yang cukup membebankan ketika ini. Pihak taska seharusnya memahami situasi kebanyakan ibu bapa pada ketika ini.

Itu belum diambil kira dengan yuran bulan yang mahal iaitu mencecah RM400 sebulan. Penulis difahamkan, kebanyakan taska dan tadika swasta menaikkan yuran pada tahun ini antara RM30 hingga RM50 sebulan.

Ini ekoran pertambahan kos operasi akibat daripada peningkatan harga makanan, sewa premis dan gaji kakitangan. Untuk makluman, kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka ke taska atau tadika swasta bukan untuk bermegah.

Sebaliknya, mereka sudah tidak ada pilihan, terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Ini kerana, tadika dan prasekolah disediakan oleh pihak kerajaan tidak mencukupi dan sangat terhad sehingga memaksa ibu bapa terutamanya daripada golongan M40 beralah kepada mereka lebih memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI