fbpx

Jawatan ini datang dengan tanggungjawab, amanah tinggi – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari

PETALING JAYA – ‘Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi’

Demikianlah ungkapan Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas memenangi salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO 2023 bersama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan bahagian seluruh Malaysia kerana memberikan sokongan serta kepercayaan buat dirinya.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jentera kempen saya serta akar umbi yang telah bekerja keras sehingga mencapai kemenangan ini.

“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu dan memimpin parti bersama-sama Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut menyeru agar semua ahli UMNO bersatu sebagai sebuah keluarga besar serta saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti tersebut.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut berjanji akan melunaskan amanah yang digalasnya dengan memberi keutamaan kepada mengembalikan semula perpaduan dalam parti.

Ujarnya, telah tiba masa untuk semua bertaut kembali sebagai keluarga besar yang saling bahu membahu demi mengembalikan UMNO ke persada kepercayaan bangsa Melayu.

“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling maafkan. Era baru dalam UMNO mesti kita mulakan dengan semangat Ramadhan yang menyeru untuk kita menyucikan diri dan kembali ke jalan rohani,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang mengakui kejayaan ini merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar untuk dirinya membantu Presiden, Timbalan Presiden serta seluruh kepimpinan UMNO terutamanya dalam keadaan parti yang ‘goyah’ ketika ini.

Katanya, dengan berbekalkan pengalamannya dalam mentadbir kerajaan, beliau akan membantu membina semula kekuatan UMNO agar kekal relevan untuk mengembalikan sokongan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.

Semalam, persaingan merebut tiga kerusi berkenaan kelihatan sengit dengan menyaksikan Wan Rosdy mendapat undian tertinggi iaitu 124 undian, kedua Mohamed Khaled (114) dan Johari (107).

Barisan Naib Presiden UMNO kali ini turut menyaksikan Johari sebagai muka baharu selepas cubaan pertamanya pada Pemilihan UMNO 2018 tidak berjaya.

Penampilan Wan Rosdy juga merupakan wajah baharu dalam Barisan Naib Presiden UMNO manakala Mohamed Khaled kekal selesa mempertahankan jawatan itu sejak 2013. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI