fbpx
LISA SURIHANI

Hati berbolak-balik untuk istiqamah – Lisa Surihani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP individu yang berhijrah menjalani proses yang berbeza.

Sebagai manusia biasa, pelakon Datin Lisa Surihani juga begitu. Katanya, tidak wajar untuk mempersoalkan cara perubahan seseorang dalam perjalanan menjadi lebih baik.

Mengulas mengenai trend hijrah bermusim hanya ketika bulan Ramadan, menurut Lisa, perkara itu bukan tugas manusia untuk menilainya.

“Bukan tugas kita untuk buat andaian tentang penghijrahan orang lain. Kita kena tengok diri kita mengenai aspek penghijrahan.

“Setiap orang melalui proses yang berbeza, ada orang yang melalui kejadian besar untuk berubah. Ada juga berubah menjadi lebih baik dengan melakukan perkara-perkara kecil.

LISA juga seperti wanita biasa yang sukar untuk kekal istiqamah dan sering berbolak-balik dalam penghijrahannya. Foto – AMIR KHALID & Ihsan ARIANI

“Contohnya orang itu biasa solat lima waktu, namun penghijrahannya mahukan solat awal waktu. Bagi orang lain skala hijrahnya tidak begitu besar.

“Begitu juga hijrah hanya pada Ramadan, bagi saya itu sesuatu yang baik dan mungkin menjadi asbab untuk perubahan yang lebih besar.

“Apa yang penting kita doakan semoga dia kekal istiqamah waima hijrah yang dilakukan itu kecil atau besar,” ujarnya.

Ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Ariani Layar Lara 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Selasa lalu, Lisa turut ditanya tentang pendekatannya untuk kekal dalam penghijrahan.

Isteri kepada pengarah dan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim itu berkata, dia juga masih belajar untuk terus istiqamah.

Akui Lisa, sebagai wanita biasa dia juga melalui perasaan yang berbolak-balik.

KECIL atau besar hijrah seseorang, Lisa bertegas bukan tugas kita untuk menilai setiap tindakan orang lain.

“Kita manusia biasa, hati sangat rapuh dan mudah berbolak-balik. Saya sendiri berjuang untuk kekal istiqamah.

“Ada masa kita rasa tersungkur. Kalau kita tersungkur jangan terus berada di bawah.

“Sentiasa ingatkan diri kita supaya tidak putus asa dalam perjalanan hijrah yang kita lakukan,” ujarnya.

Masih berlakon

Selain itu, Lisa menjelaskan dia tidak pernah meletakkan noktah pada bidang lakonan selepas membuat keputusan berhijrah.

Lisa yang muncul dalam drama Legenda Puteri Qaseh baru-baru ini berkata, dia masih menerima tawaran lakonan jika sesuai dengan jadual hariannya.

“Orang ingat saya sudah tak berlakon, sebenarnya saya terima sahaja kalau ada tawaran yang sesuai.

“Kita buat sama macam dulu, tengok beberapa faktor sebelum terima. Saya tiada kata putus dalam bab-bab itu.

“Saya harap kerjaya lakonan saya terus berjalan dan tawaran yang diterima itu membantu perjalanan kerohanian saya,” ujarnya.

Belakang tabir

Pernah mencuba nasib menceburkan diri bekerja di belakang tabir, Lisa menganggap dirinya kurang mahir dalam bidang tersebut.

LISA bersama Uyaina Arshad dan Bella Daly kini menggalas tugas sebagai duta tudung koleksi Layar Lara Ariani 2023.

“Saya pernah cuba tapi asas pengetahuan saya untuk kerja-kerja belakang tabir sangat kurang. Setiap orang ada kelemahan masing-masing.

“Saya tidak nampak diri saya ke arah itu dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, pengacara program Tanya Doktor Imelda itu juga mengakui mula meminati bidang pengacaraan sebagai cabang baharu kerjaya seninya.

“Selepas diberi peluang mengacarakan beberapa program, saya semakin berminat untuk serius ke arah itu.

“Apa yang menariknya, selain mengendalikan program itu, saya juga dapat belajar ilmu baharu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN