fbpx

Komuniti La Sape sanggup berlapar demi kelihatan bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Komuniti La Sape sentiasa tampil bergaya dengan pakaian sut berwarna-warni.

BIAR papa asal bergaya. Itulah peribahasa yang sesuai untuk ditujukan kepada komuniti fesyen yang dipanggil La Sape di Republik Demokratik Congo (Congo).
Komuniti tersebut terkenal dengan pilihan gaya hidup melampau dan mereka sanggup hidup susah asalkan boleh tampil bergaya.

Dari mana datangnya La Sape? Istilah La Sape adalah singkatan kepada Société des ambianceurs et des personnes elegantes atau Society of Atmosphere-setters and Elegant People.

Asal usul La Sape dipercayai bermula pada awal abad ke-20 semasa zaman kolonial Belgium-Perancis di mana golongan hamba di negara Afrika itu bekerja untuk mendapatkan pakaian terpakai.

Di luar waktu bekerja, lelaki Congo mula berpakaian seperti lelaki Perancis yang bergaya dengan menyarung sut berwarna-warni, kasut mewah, mengenakan aksesori seperti topi bowler, tongkat dan cermin mata hitam.

Dengan memakai pakaian sedemikian rupa, mereka akan berasa hebat, lebih bertenaga serta gembira.

Golongan berkenaan dipanggil sapeur bagi kaum lelaki, manakala sapeuses untuk wanita.

Pada masa itu, La Sape adalah satu bentuk ekspresi sosial bagi orang yang telah dijajah.

Sapeur menggunakan gerakan itu untuk melupakan kesengsaraan hidup mereka serta menjadi inspirasi kepada masyarakat lain.

Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, pada masa kini La Sape adalah ideologi pergerakan untuk sentiasa gembira dan kelihatan elegan walaupun seseorang itu sebenarnya kekurangan makanan.

Bagaimanapun, La Sape lebih daripada subkultur dan ia adalah elemen penting dalam budaya Congo.

GOLONGAN La Sape sanggup hidup susah dan berlapar semata-mata untuk memiliki pakaian berjenama mewah.

Malah, ahli politik dan pemuzik sangat menghormati gerakan itu.

“Bagi saya, La Sape hanyalah tentang kebersihan. Saya berasa selesa dengan menyarung sut Ozwald Boateng, jadi saya memakainya,” ujar Aime Champaigne yang merupakan seorang pengikut gerakan La Sape.

Namun begitu, orang Congo juga skeptikal dengan La Sape dan mentakrifkan pergerakan itu sebagai obsesi atau ketagihan yang tidak boleh dihentikan walaupun ia salah.

Dalam pada itu, Tariq Zaidi yang merupakan pengarang buku Sapeurs: Ladies and Gentlemen of the Congo menjelaskan, seorang sapeur sanggup menabung selama bertahun-tahun untuk mengumpul AS$2,000 (RM8,960) bagi  membeli sut yang direka oleh pereka fesyen terkenal.

Menurutnya, anggota komuniti La Sape tidak akan menggunakan barangan tiruan.

Biarpun memiliki pendapatan yang biasa-biasa sahaja, namun mereka sanggup menyimpan sedikit demi sedikit sehingga wang mencukupi untuk membeli sut diinginkan.

“Mereka lebih suka berbelanja sehingga AS$200 (RM896) untuk membeli kemeja daripada menabung bagi memiliki rumah, kereta mahupun motor,” katanya.
Keutamaan golongan tersebut bukan kepada kestabilan ekonomi diri, tetapi ingin kelihatan bergaya.

Jika boleh, mereka ingin menjadi trendsetter dalam komuniti setempat.

Selain itu, sapeur gemar menukar pakaian sesama mereka.

Jika seseorang itu mempunyai tali leher jenama Chanel dan seorang lagi berbaju Dior, mereka boleh menukar atau meminjam pakaian masing-masing secara percuma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI