fbpx
BERPELUANG memancing ikan siakap gergasi yang dinamakan sebagai Nile Perch di salah sebuah negara di Afrika, Uganda penulis rasakan cukup bertuah (kiri). Sungai turut dihuni badak air (kanan).

Safari memancing Afrika habitat ‘Nile Perch’ perkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AIR Terjun Murchison ini terletak di dalam Taman Negara Uganda, Afrika. Aliran airnya datang dari Sungai Victoria Nile yang menerobos melalui sebuah gaung sempit sekitar tujuh meter (m) lebar sebelum menjunam 45m ke dalam kawah berlubuk yang digelar Devil’s Cauldron.

Tujahan air ini menghasilkan bunyi dentuman yang menggegarkan dan menerbitkan kabus tebal yang sentiasa menyelubungi kawasan tersebut.

Paling menyeramkan, pusaran air yang kuat ini juga menghasilkan buih-buih membukit dan dihuni ikan Nile Perch gergasi bersama-sama buaya Nil yang ganas!

Trip yang mendebarkan

Bagi memancing ikan Nile Perch bersaiz kasar kami harus pergi ke kawasan air terjun.

Bot menujah laju menentang arus menuju ke lokasi, enjinnya sentiasa meraung apabila melawan air deras yang bergulung.

Buih, percikan dan pusaran air serta batu-batu tajam bergabung membentuk satu pemandangan yang kelihatan mustahil untuk dipancing.

Sukar dibayangkan ada hidupan di situ, apatah lagi ikan pemangsa raksasa.

GEWANG dimainkan di Devil’s Cauldron, kawah pusaran air bergelora di Air Terjun Murchison Taman Negara Uganda.

Bot menghimpit tebing dan pancingan akan dilakukan secara land based.

Bentuk muka bumi kawasan itu yang berbatu berjeragat cukup kasar untuk melukakan kulit dan memutuskan tali pancing, manakala permukaan tebing yang licin dan berlumut me­­­­­­­ngancam sesiapa sahaja untuk ter-
gelincir lantas menerima kecelakaan mutlak.

Guide yang bernama Zenya dan saya bergerak menuju ke air terjun, mengharap ada ikan pemangsa menunggu di pusaran air antara bongkah-bongkah batu yang menim-
bul.

Sementara itu, guide yang lain iaitu Bosco dan Audense, menghanyutkan umpan hidup ke kawasan air yang lebih tenang.

Tidak mengambil masa lama, umpan yang dihulurkan bersahut dan Zenya terus membalas joran, malangnya mata kail tidak lekat dan umpan melayang kembali ke arahnya.

Saya masih terus melontar gewang Halco LP190 di sepanjang dinding berbatu, dengan harapan ada ikan Nile Perch bersembunyi di kawasan air lenang di bawahnya.

Gewang besar itu dikarau secara konsisten sebelum tiba-tiba ia disergap. Hentaman ikan jelas padu, ia meluru ke kawasan dalam dan selepas pertarungan singkat ia berhasil didaratkan, saiznya kecil.

Apabila tiada lagi sambaran, kami menyeberangi sungai ke lokasi yang dinamakan Baker’s Rock. Ia seumpama pelantar semula jadi menghadap air terjun.

Selepas memanjat tebing, kami memancing di satu kolam yang terletak di atas, tetapi tiada apa yang menyentuh umpan.

Seterusnya kami bergerak ke Sungai Victoria Nile yang lebih lebar dan tenang.

Kami melabuhkan umpan dan melontar gewang. Baru sahaja saya hendak duduk, drag kekili berbunyi cemas. Rupanya ikan keli Vundu (Heterobranchus longifilis) menyapa.

Saya kemudian dimaklumkan bahawa ikan tersebut amat jarang ditemui di sini, menjadikan tangkapan itu satu bonus yang tidak dijangka. Itulah aksi terakhir untuk sesi separuh hari, baru hari pertama tetapi pengalamannya amat menggerunkan.

Hari kedua

Awal pagi bermula dengan guide menggali cacing tanah untuk memancing ikan tilapia Nil.

Menangkap ikan ini rupanya jauh lebih sukar daripada yang disangka. Ikan ini bakal kami jadikan umpan hidup untuk Nile Perch.

Kami kembali ke pusaran air di air terjun dengan penuh keyakinan. Namun, langsung tiada apa-apa sambaran ikan.

Kami terpaksa bergerak turun dari satu lokasi ke lokasi lain, silih berganti merendam umpan dan melontar gewang.

Hairan, hingga menjelang tengah hari keputusan pancingan masih kosong.

Cuaca yang panas terik menguras tenaga dan kami berteduh di bawah kanopi pokok yang redup untuk berehat dan santai meman­cing sambil melihat sekumpulan badak air di hadapan kami.

Akhirnya, drag kekili Accurate saya berbunyi, saya memberi tali, kemudian barulah mengetatkan drag kerana di hujung perambut
itu ialah mata kail lingkar (circle hook).

Ikan menekan kuat, tetapi tali tiba-tiba menjadi kendur, dua kali terjadi. Kedua-duanya saya sangka ikan terlepas.

Apabila diperhatikan dengan teliti, rupa-rupanya tali saya telah tersangkut batu. Ikan masih ada, kelam kabut guide mengarahkan saya menaiki bot.

Bot dipacu ke arah tali yang tersangkut untuk melepaskannya. Baru sahaja saya mula mengawal keadaan, ikan itu memecut ke arah yang paling tidak terjangka iaitu ke kumpulan badak air tersebut.

Belum sempat saya berbuat apa-apa tali menjadi kendur, putus. Itulah satu-satunya sambaran paling kasar pada hari kedua.

Hari ketiga

Sekali lagi kawah air terjun menjadi lokasi utama. Zenya mendapat sambaran dalam beberapa minit melabuhkan umpan.

Ikan sungguh kuat sehingga perlu dituruti dengan bot.

Pertarungan berlangsung dengan berpihak kepada dia, ia merupakan ikan trofi yang kami inginkan.

Boleh dilihat betapa besarnya Nile Perch ini berdasarkan saiz badan saya dengan kepalanya.

Namun ketika cuba mendaratkannya, berlaku salah faham yang berakhir dengan tragedi. Zenya mengangkat joran pada saat yang salah, ikan menggelupur dan terlucut.

Pagi itu tidak relaks, drag kekili yang kami gunakan semuanya berbunyi berulang-ulang kali, tetapi satu pun tidak lekat.

Bosan dengan keadaan itu saya menghanyut gewang Halco LP190 mengikut arus kemudian barulah dikarau, hasilnya saya dapat seekor Nile Perch saiz kecil.

Selepas makan tengah hari, kami berpindah lokasi yang guide gelar ‘Kolam Buaya’. Zenya kena seekor Nile Perch dengan soft plastic shad, malangnya tali putus ketika pecutan pertama ikan.

Selepas itu, dia cuma dapat seekor ikan keli Sudan (Bagrus docmak) yang cantik sebagai pengubat kecewa.

Saya pula mengalami satu kejadian yang kelakar tetapi mencemaskan apabila seekor badak air meluru masuk ke air dan tersangkut tali pancing saya.

Kesudahannya kami terpaksa mengejar haiwan itu dengan bot untuk memutuskan tali, nasib baik ia terputus sebelum badak air itu sempat sampai ke kumpulannya.

Hari keempat

Bosco membawa kami ke lokasi di atas air terjun, ia merupakan satu kolam kecil bertentangan dengan Baker’s Rock, tempat saya mendaratkan Nile Perch pertama.

Belon dipasang di perambut bagi mengekalkan umpan hidup berlegar di permukaan air. Tiba-tiba ia bergerak melawan arus, saya me­­ngarau tali dan menyentap joran, ikan terus membesit pergi.

Saya bimbang ikan membenam dan memutuskan tali pada batuan dasar.

Secara konsisten, joran dipam kuat dan ikan Nile Perch saiz kasar itu akhirnya dapat didaratkan walaupun perambut 80lb calar-balar akibat lelasan ke batu.

Kami bergerak lebih jauh ke hilir selepas itu. Saya kena seekor lagi Nile Perch saiz kasar dengan gewang Halco LP190, malangnya ia terlucut ketika melompat sambil mengeleng-gelangkan kepalanya.

‘Gergasi’ dinaikkan

Di hari terakhir, lokasi Baker’s Rock sudah diduduki pemancing lain, lantas Bosco membawa kami terus ke kawah Devil’s Cauldron yang bergelora berdekatan dengan air terjun.

Kami menghabiskan berjam-jam memancing di sini dan Zenya mendaratkan seekor Nile Perch kecil menggunakan gewang Halco Sorcerer warna emas.

Kemudian, dia terlepas seekor Nile Perch raksasa apabila ikan berjaya mengeluarkan habis tali di dalam gelendung kekili Shimano Conquest 400 miliknya.

Saya mengambil alih tapak pan­cingannya selepas itu dan membuat keputusan untuk mencuba gewang Halco LP190 berwarna emas perang metalik.

Air di hadapan saya kelihatan gelap dan ikan tilapia di sini sangat menyerupai warna gewang yang saya gunakan. Saya melontar gewang melintasi arus, membiarkan ia hanyut seketika, kemudian barulah mengaraunya semula.

Selepas banyak kali lontaran dilakukan tanpa jemu, akhirnya ia disergap sesuatu yang amat besar.

Ikan meluru ke hilir, kemudian berpusing melawan arah jam mengikut pusaran air. Jika ia dapat mencapai arus utama, pasti tali pancing saya akan habis dilarikannya.

Saya terpaksa menghela ikan ini dengan kuat, lama-kelamaan ia keletihan dan berjaya saya rapatkan ke tebing.

Bosco turun ke hujung batu untuk mencapainya tetapi ikan terlalu besar dan dia perlukan bantuan.

Saya terpaksa turun untuk membantu. Perlahan-lahan Bosco memegang erat mulut ikan dan terus dinaikkan ke tebing.

Pantas kami bergambar dan saya akui inilah ikan air tawar yang paling besar pernah saya pancing.

Segera Bosco memulihkannya dengan cermat sehingga ia meronta untuk dibebaskan dan ia berenang kembali ke dalam pusaran air yang bergelora dengan selamat.

Saya berdiri di situ, basah kuyup dan keletihan, terkesima dengan kekuatan ikan dan kehebatan lokasi kami memancing.

Ia penutup sempurna bagi lima hari detik-detik yang tidak akan dilupakan di bawah air terjun paling dramatik di Afrika.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN