fbpx

470 putera MTD terlibat perbarisan tahunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri adalah Azim, Ammar, Nasrul dan Aniq merupakan penerima anugerah sempena Perbarisan Tahunan Putera MTD 2022 di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 470 putera Maktab Tentera Diraja (MTD), terdiri daripada 241 putera tingkatan lima dan 229 putera tingkatan empat terlibat Perbarisan Tahunan Putera MTD 2022 di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Perbarisan tradisi yang meraikan penuntut MTD berkenaan telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang.

Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia merupakan tradisi bagi meraikan ‘Putera’ atau ‘Budak Boy’ terutama 241 orang penuntut Tingkatan Lima yang berjaya menamatkan pengajian.

Perbarisan tersebut diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK), Muhammad Aniq Bahjat Nor Hilmi dari Kompeni Bravo yang juga Putera Terbaik Keseluruhan dan penerima Anugerah Menteri Pertahanan.

Seterusnya, PRK Nasrul Nazwan Norazman menerima Anugerah Komandan, Putera Terbaik Dalam Bidang Ketenteraan manakala Pegawai Rendah Muda (PRM), Muhammad Ammar Mohd Zahari menerima Anugerah Pengarah Pengajian Putera Cemerlang Bidang Akademik.

Sementara itu, Putera Sarjan (PSJN), Azim Muzaffar Mohd Danir turut menerima Anugerah Lembaga Tadbir dan Putera Terbaik Dalam Bidang Sukan.

“MTD adalah institusi pendidikan peringkat menengah yang amat berbeza berbanding dengan sekolah-sekolah yang lain.

“Melalui penerapan silibus akademik dinamik disokong dengan modul ketenteraan yang holistik, para Putera MTD akan terus didedahkan dengan persekitaran pembelajaran yang optimal dan ideal,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, berpegang dengan cogan kata ‘Berkhidmat Memimpin’, MTD akan terus memainkan peranannya dalam melahirkan bakal pemimpin ulung di Malaysia meliputi pelbagai bidang dan sektor.

“MTD telah melahirkan ramai Putera yang berjaya termasuk menyandang jawatan-jawatan penting di dalam ATM, Perkhidmatan Awam, di samping melebar sayap di dunia korporat,” jelasnya.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

Seterusnya, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Komandan Maktab Tentera Diraja, Brigadier Jeneral Datuk Mohd. Shaifuddin Mohd Shariff TUDM, Mantan Panglima ATM Ke-12, Jeneral Tan Sri (Dr) Borhan Ahmad, Mantan Panglima Tentera Udara Ke-12, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Suleiman Mahmud dan para pegawai kanan ATM. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI