fbpx

Rasa macam orang tua, saraf banyak dah rosak – Ako Mustapha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKO masih menerima tawaran berlakon, namun terpaksa membataskan kerana faktor kesihatan penyakit kencing manis kronik yang dihidapinya.

KUALA LUMPUR – Pelakon Ako Mustapha memberitahu keadaan kesihatannya semakin baik dan terkawal berbanding sebelum ini selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) ekoran menderita penyakit kencing manis kronik pada tahun lalu.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha ketika ditemui Kosmo! Online berkata, penyakit kencing manis yang dihidapinya kini berada dalam keadaan terawal selain dirinya bertambah sihat untuk kembali aktif berlakon.

“Alhamdulillah keadaan saya semakin baik. Ketika dimasukkan ke ICU pada tahun lalu, bacaan gula dalam darah saya memang terlalu tinggi sehingga tidak boleh dibaca.

“Dalam badan saya langsung tidak ada insulin pada ketika itu. Tapi sekarang semakin sihat dan berat badan saya pun sudah bertambah sekitar 12 kilogram (kg),” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagaimanapun, pelakon berusia 52 tahun itu terpaksa akur apabila dalam tubuhnya mengalami banyak kerosakan terutama membabitkan saraf akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sehingga memberi kesan pada anggota badan lain.

“Ada banyak kerosakan dalam badan saya terutama saraf disebabkan penyakit kencing manis yang saya alami.

“Rasa macam orang tua sekarang sebab kaki sentiasa lenguh. Memang masalah itu kadang-kala mengganggu aktiviti harian saya.

“Sebab bila kaki berdenyut sangat, saya tidak boleh fokus kerana menahan sakit. Saya tidak tahu boleh sembuh sepenuhnya atau tidak. Tapi keadaan saya semakin baik berbanding dahulu,” ujarnya.

Bercakap tentang kerjaya lakonannya, pelakon yang pernah popular menerusi filem Senario The Movie itu masih lagi menerima tawaran berlakon walaupun terpaksa membataskan waktunya berbanding sewaktu dirinya masih lagi sihat.

Kata Ako, jika dahulu dia boleh berlakon dari pagi sehingga ke tengah malam, namun dalam keadaan sekarang, dia perlu berpada-pada kerana faktor kesihatan.

“Saya masih lagi dapat tawaran berlakon dan tidak pernah menolak sebarang tawaran yang diberikan. Watak saya juga tidaklah terlalu berat dan lasak.

“Selain berlakon, saya juga sedang menjalankan perniagaan membabitkan beberapa produk seperti makanan dan minuman kesihatan termasuk minyak wangi.

“Jadi saya kena juga kurangkan berlakon supaya boleh membahagikan masa terhadap perniagaan yang saya usahakan,” kata Ako ketika ditemui di majlis sidang media majlis pelancaran Hoorey X Fest Raya di sini, semalam.

Tahun lalu, Ako pernah dikejarkan ke zon kritikal Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas saraf dan otot tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik kerana tidak mengambil ubat selama seminggu.

Disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapinya, bentuk tubuh Ako mulai susut selepas dia kehilangan berat badan sehingga 20kg. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI