fbpx

Mahkamah: Pembelaan tutup kes Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa atas pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), menutup kesnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian menetapkan pihak-pihak memfailkan penghujahan bertulis sebelum 3 April manakala penghujahan lisan dan klarifikasi ditetapkan pada 10 dan 11 April ini.

Mahkamah menetapkan demikian selepas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu memaklumkan pihak pembelaan menutup kesnya hari ini selepas mengemukakan keterangan empat saksi pembelaan pada perbicaraan yang bermula pada 22 Februari lalu.

Selain Syed Saddiq yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), saksi-saksi lain terdiri daripada bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Terdahulu, Siti Nurul Hidayah yang menyambung keterangannya berkata, laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan beliau dikasari dan diugut oleh pegawai-pegawai SPRM ketika siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020, adalah benar.

Menurut saksi pembelaan keempat itu, beliau juga pernah berjumpa dengan pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat kes Syed Saddiq.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung kebenaran laporan polis yang dibuatnya, Siti Nurul Hidayah berkata beliau hanya diiringi oleh dua pegawai wanita sebelum lima lagi pengawai lelaki menghampirinya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq (saksi pembelaan pertama) yang dipanggil semula untuk memberi keterangan turut membuat pengecaman ke atas Ihsan atau nama sebenarnya Mohd. Ihsan Sapuan.

Dalam prosiding sebelum ini, Syed Saddiq dirujuk dengan transkrip rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq dengan Ihsan.

Dalam transkrip itu, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq supaya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bekas Perdana Menteri tersebut yang membawa beliau memasuki Bersatu, masih mengambil berat terhadapnya dan memaklumkan bahawa SPRM menjadi ‘alat’ apabila berlaku pertukaran kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI