fbpx

Jenazah mangsa nahas di Thailand dikebumi di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chek Basah menunjukkan gambar Mohamad Razis ketika ditemui di Kepala Batas hari ini. Gambar oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Jenazah penunggang motosikal berkuasa tinggi yang maut dalam kemalangan di Prachuap Khiri Khan, Thailand semalam akan dikebumikan di Permatang Langsat, Kepala Batas di sini nanti.

Mohamad Razis Zakaria,42, yang bertugas sebagai kakitangan sebuah syarikat perkapalan di Sarawak itu dilaporkan menunggang sendirian ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air sebelum motosikalnya dipercayai terbabas.

Isterinya, Salma Mohd Sobri, 31, berkata, bapa mentua dan adik iparnya kini berada di Thailand bagi menguruskan kepulangan jenazah ketika ini.

“Tidak pasti bila jenazah akan tiba di sini kerana jarak lokasi mereka dan sempadan negara adalah 700 kilometer. Insya-Allah, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Berpusat Masjid Abdullah Fahim, Permatang Langsat,” ujarnya ketika ditemui petang tadi.

Beritahu Salma, dia tidak menyangka akan berita kematian suaminya memandangkan Mohamad Razis sebelum itu telah membuat tempahan dua ekor kambing untuk majlis akikah anak mereka yang dijangka lahir bulan depan.

“Kali terakhir saya menghubungi arwah, dia beritahu dalam perjalanan pulang, namun tidak lama kemudian rakannya hubungi dan memaklumkan arwah maut dalam kemalangan,” ujarnya sebak.

Sementara itu, ibu mangsa, Chek Basah Sabri, 62, pula berkata, anaknya berada di Thailand sejak seminggu lalu bagi menghantar bantuan di beberapa maahad tahfiz di negara itu.

Menurutnya, arwah seorang yang aktif dalam kerja amal sejak berusia 21 tahun, malah sudah lebih 15 tahun dia mengunjungi maahad tahfiz di sana untuk menyampaikan bantuan.

“Walaupun pendiam, dia ringan tulang membantu keluarga termasuk membiayai kos pendidikan tujuh adiknya. Saya tinggal di Pantai Remis, Perak dan hanya mengetahui kejadian selepas dihubungi rakannya pagi semalam.

“Kami sekeluarga terkejut kerana tiga anak perempuannya berusia 16 hingga lapan tahun baru kehilangan ibu pada 2020 dan kini mereka juga kehilangan bapa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, suri rumah itu berkata, arwah pernah menyatakan hasrat agar tiga anaknya itu tinggal bersamanya dalam pertemuan akhir pada minggu lalu dan tidak menyangka kata-kata tersebut menjadi kenyataan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI