fbpx

Perhilitan pantau lokasi serangan buaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan paya di Padang Papan, Manir, Kuala Terengganu yang menjadi lokasi Che Man diserang buaya pada Jumaat lalu.

KUALA TERENGGANU – Kawasan paya di Padang Papan, Manir, di sini yang menjadi lokasi peniaga ikan darat digigit buaya pada Jumaat lalu telah dipantau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Pengarah Perhilitan negeri, Loo Kean Seong berkata, siasatan sedang dilakukan untuk memastikan sama ada lokasi tersebut merupakan habitat semula jadi buaya atau sebaliknya.

“Sekiranya kawasan paya itu habitat semula jadi buaya, kami akan pasang papan tanda amaran tetapi jika sebaliknya, kita akan pasang perangkap bagi menangkap buaya berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.

Kean Seong berkata, orang ramai dinasihatkan agar segera melaporkan penemuan haiwan liar dan buas kepada pihaknya bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang peniaga ikan darat cedera apabila tangan kanannya digigit seekor anak buaya tembaga sewaktu mengambil wuduk di kawasan paya di Padang Papan, Manir di sini pada Jumaat lalu.

Che Man Zakaria, 61, yang telah menangkap ikan darat di kawasan tersebut sejak 15 tahun lalu terpaksa menerima 12 jahitan pada tangan kanannya akibat serangan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI