PETALING JAYA – Berita gembira dikongsikan pelakon Remy Ishak yang mengesahkan bahawa isterinya, Ezza Yusof kini hamil lima bulan.
Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak berkata, perasaan bakal bergelar bapa dalam tempoh beberapa bulan lagi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan satu pengalaman yang luar biasa.
“Bukan sebab saya tak nak dedahkan atau apa. Sebelum ini waktu ditanya, kandungan masih lagi di peringkat awal. Doktor pun beri nasihat supaya tidak digembar-gemburkan dahulu.
“Jadi, memang tak boleh nak cakap (kongsi) apa sangat. Sekarang dah stabil dan kandungan Ezza pun doktor kata sihat, bolehlah saya kongsikan kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ujar pelakon filem Harum Malam itu lagi, imbasan (ultrabunyi) telah dilakukan dan kandungan berada dalam keadaan sihat walafiat.
Remy juga mengharapkan agar orang ramai mendoakan yang baik-baik agar dipermudahkan urusan kehamilan isteri hinggalah sampai proses bersalin nanti.
“Sekarang kandungan dah lima bulan dan kita boleh nampak baby bump. Dah ada ‘baby’ dalam perut. Dah buat imbasan semua dan memang tak boleh sembunyi dah.
“Orang pun tengok keadaan dia macam mana sekarang kan? Begitulah dan betul apa yang diperkatakan ramai. Tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan bakal bergelar seorang bapa. Memang sesuatu yang sangat istimewa.
“Cuma saya minta doa yang baik-baik daripada orang ramai agar fasa baharu dalam kehidupan suami isteri antara saya dan Ezza mendapat rahmat Allah SWT. Rasa lain macam bila nak bergelar bapa,” katanya lagi.
Terdahulu, isteri Remy iaitu Ezza yang merupakan seorang usahawan fesyen meminta media bertanyakan sendiri kepada Remy tentang kesahihan dirinya kini berbadan dua.
Awal tahun ini juga, timbul desas-desus daripada sebilangan pengamal media bahawa Ezza sudah hamil berikutan keadaan fizikalnya yang sedikit berisi sejak akhir-akhir ini.
Sungguhpun begitu, aktor kelahiran Melaka itu menafikan perkara tersebut demi menjaga usia kandungan yang masih baru bukannya berahsia daripada pengetahuan ramai.
Untuk rekod, Remy berkahwin dengan Ezza, 40, yang merupakan pengarah kreatif dan pereka kasut untuk jenama 2morrow pada 21 Ogos 2021. – KOSMO! ONLINE














