fbpx

Dewan Rakyat: Pelbagai insiatif kepada pekebun kelapa sawit, getah, lada dan koko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam usaha membantu pekebun kecil komoditi sawit, getah, lada dan koko bagi menghadapi impak perubahan harga serta menampung kos sara hidup.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, bagi sektor sawit, kementerian telah memperkenalkan Program Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) khusus membantu pekebun kecil untuk melaksanakan aktiviti tanam semula sawit.

Selain itu katanya, kerajaan juga membantu pekebun kecil untuk terlibat dengan aktiviti secara integrasi melalui pengenalan Skim Bantuan Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa), Skim Bantuan Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe).

“Kerajaan juga menyediakan pembiayaan bagi pembelian input pertanian seperti baja sebatian, racun rumpai dan serangga perosak melalui Program Pembiayaan Mudah Pembelian Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang mahu kerajaan menyatakan tindakan yang diambil oleh Kementerian dalam membantu pekebun kecil sawit, getah, lada dan koko yang terkesan akibat ketidakstabilan harga komoditi dunia serta peningkatan kos baja dan racun.

Menurut Siti Aminah, bagi sektor getah pula, kementerian telah melaksanakan pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang bertujuan untuk mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan pekebun kecil untuk terus menoreh.

Katanya, kementerian juga melaksanakan pemberian Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) sebagai usaha memberi peluang kepada pekebun kecil getah menambah pendapatan dengan memberi galakan untuk beralih kepada menghasilkan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap (cuplump).

“Selain itu, Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (Target) yang dilaksanakan Kerajaan diharap dapat membantu aktiviti penjualan getah krip dalam konsep koperasi.

“Projek ini dijangka dapat menambah nilai getah yang seterusnya akan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil,”ujarnya.

Bagi sektor lada pula, beliau berkata, di bawah Program Pembangunan Huluan Industri Lada, kementerian telah menyalurkan bantuan bekalan input pertanian seperti baja dan dolomite.

“Untuk sektor koko, kementerian telah melaksanakan Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko bagi membangunkan kawasan seluas 1,000 hektar sebagai kawasan tanaman baru koko menggunakan sistem tanaman integrasi bersama tanaman ekonomi lain.

“Kementerian juga membantu dalam urusan pembelian biji koko kering pekebun kecil koko melalui Koperasi Kluster Koko dengan harga yang lebih tinggi daripada harga semasa,”jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI