GEORGE TOWN – Pengusaha biskut raya di negeri ini buntu memikirkan tentang jumlah tempahan yang dikatakan berkurangan sehingga 40 peratus tahun ini walaupun bulan Ramadan berbaki kurang sebulan.
Rata-rata mereka yang ditemui Kosmo! semalam mengatakan, ini berlaku berikutan kenaikan harga barangan mentah secara mendadak sehingga lebih RM1 bermula awal tahun ini sehingga membuatkan ramai pelanggan ‘cabut lari’.
Kenaikan harga barangan itu dikatakan membabitkan semua jenis bahan atau produk pembuatan biskut raya seperti tepung gandum, tepung jagung, gula, kepingan coklat, badam, kacang dan gula pasir.
Kini, harga bagi sekaton tepung gandum yang berisi 10 peket dijual RM36 berbanding tahun lalu iaitu RM30, manakala kepingan coklat pula kali ini naik RM7 menjadi RM21 daripada harga biasa RM14.90.
Pengusaha Ajja Bakery & Pastry, Nur Hajar Salim, 33, berkata, dia resah memikirkan penetapan harga baharu bagi lapan jenis biskut raya yang diperkenalkannya tahun ini.
Menurutnya, dia juga masih teragak-agak sama ada mahu mengurangkan jumlah biskut di dalam bekas mahupun memilih menggunakan bahan-bahan atau produk pembuatan kek keluaran atau berjenama biasa.

“Memang ada berlaku kekurangan tempahan biskut raya daripada pelanggan tetap kali ini sehingga 40 peratus. Berbanding dahulu, kurang sebulan menyambut Ramadan, 80 peratus pelanggan sudah meminta senarai biskut untuk ditempah.
“Kali ini, ada pelanggan tetap langsung tidak membuat sebarangan tempahan selepas dimaklumkan mengenai cadangan harga baharu termasuk pengurangan kuantiti sekiranya mahu mengekalkan harga lama,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Nur Hajar memberitahu, dia juga tidak teragak-agak untuk membesarkan saiz biskut raya berbanding asal untuk disepadankan dengan harga baharu nanti.
“Saya henti buka tempahan untuk dua jenis biskut iaitu mazolla dan coklat chip memandangkan harga bagi bahan-bahan yang digunakan seperti kacang dan coklat serta bekas plastik agak mahal
Sementara itu, seorang lagi pengusaha biskut dan kek yang hanya mahu dikenali sebagai Hana, 35, memberitahu, dia pula terpaksa menghentikan perniagaan membuat biskut raya pada tahun ini atas faktor kenaikan barangan keperluannya.
“Modal beli barangan mentah semakin meningkat, pelanggan pula mahukan harga rendah seperti sebelum ini.
“Jika saya masih bertahan dengan harga lama, memang tidak akan merasa untung jualannya sebaliknya hanya penat buat biskut sahaja,” jelasnya.















