fbpx

Malaysia cadang batalkan tuntutan Sultan Sulu di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia bercadang untuk membawa kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan mereka terhadap bangunan milik kedutaan Malaysia di Perancis.

Pengerusi Sekretariat Khas Sulu, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata, insiden kehadiran bailif (pegawai undang-undang) pada 6 Mac lalu bukan untuk membuat rampasan bangunan Kedutaan Malaysia dan kediaman kakitangan.

“Pada pagi 6 Mac 2023, individu yang mengakui sebagai bailif memohon akses kepada premis (Kedutaan Malaysia) tersebut untuk tujuan survei atas alasan mendapatkan perincian hartanah berkenaan.

“Kakitangan diplomatik di premis terbabit memaklumkan bailif tersebut, mereka tidak dibenarkan berbuat demikian. Kemudian, bailif berkenaan meninggalkan premis yang dinyatakan. Ini bukan cubaan merampas hartanah,” menurut kenyataan yang dikongsikan Azalina menerusi Twitternya hari ini.

Jelas kenyataan itu, berdasarkan kepada taklimat guaman yang diberikan kepada pihak Kerajaan Malaysia, bailif berkenaan telah diarahkan oleh Kumpulan Sulu untuk mendapatkan perincian bangunan milik Malaysia itu.

Alasan diberikan bagi survei itu adalah bagi memenuhi prosedur Gadai Janji Berkanun yang didaftarkan pada 3 November 2022 dengan Perintah Kebenaran sebelah pihak daripada Mahkamah Perancis.

Bailif tersebut mendakwa mereka menjalankan tugas berdasarkan kepada Keputusan Separa yang diputuskan mahkamah bertarikh 29 September 2021.

Walau bagaimanapun, keputusan itu telah dicabar oleh Malaysia dalam pelbagai prosiding di Perancis dan kawasan bidang kuasa mahkamah yang lain

Jelas kenyataan itu, pada masa hadapan, Malaysia berhasrat menggesa Kumpulan Sulu ini untuk tampil dalam mahkamah yang memberikan perintah kebenaran tersebut untuk mendapatkan pembatalan pendaftaran Gadai Janji itu.

“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa setiap misi diplomatik tidak boleh dicabul dan kebal daripada sebarang carian, pengambilan, atau penahanan dibawah Konvensyen Vienna berkenaan Hubungan Diplomatik.

“Malaysia juga tidak mengiktiraf arbitrasi komersial yang dimulakan oleh oleh penuntut Sulu dan akan terus mempertahankan kedaulatan negara menerusi forum perundangan sewajarnya,” jelas kenyataan itu. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI