fbpx

52 anggota cedera diraikan sempena Hari ATM ke-89

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Affendi (tiga dari kanan) ketika bertanyakan khabar pesara tentera cedera yang diraikan dalam Majlis Ramah Mesra bersama Anggota Cedera sempena Hari ATM ke-89 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 52 anggota cedera yang terdiri daripada tujuh yang masih berkhidmat dan 45 telah bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diraikan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-89.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang berkata, majlis yang dianjur oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tahun ini adalah bertujuan untuk meraikan anggota yang cedera kekal semasa melaksanakan tugas, operasi atau latihan di dalam mahupun di luar negara.

Majlis yang dirancang setiap tahun itu kali terakhir diadakan adalah pada tahun 2019, namun akibat penularan wabak Covid-19 bermula tahun 2020, penganjuran majlis tersebut tidak dapat dilaksanakan seperti biasa.

“Sejak penubuhannya hampir 90 tahun yang lalu, ATM tetap teguh dengan pendirian untuk terus memastikan kebajikan warganya sentiasa terpelihara.

“Ini termasuklah kebajikan para isteri dan juga para Veteran Angkatan Tentera Malaysia, yang mana usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kemampuan sehinggalah ke akhir hayat mereka,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohamad Ab Rahman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.

Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM percaya bahawa pemeliharaan aspek kebajikan ini merupakan agen pembakar semangat dan motivasi warganya demi mencurahkan khidmat bakti terhadap kredibiliti angkatan sebagai Benteng Utama Pertahanan Negara.

“Keistimewaan ini adalah wajar untuk diutamakan kerana tugas mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara bukanlah suatu tugas yang boleh diambil secara mudah.

“Mereka sering terdedah kepada risiko kehilangan nyawa dan paling tidak pun mendapat kecacatan kekal yang sudah tentu akan menjejaskan kelancaran masa depan apabila bersara kelak,” ujarnya.

Justeru itu katanya, Majlis Ramah Mesra itu merupakan tanda terima kasih dan penghargaan ATM kepada warganya yang mengalami kecederaan semasa menjalan tugas di dalam perkhidmatan.

Sempena sambutan itu juga, ATM melaksanakan majlis ramah mesra di beberapa lokasi berbeza di mana jumlah keseluruhan anggota cedera yang diraikan adalah seramai 547 orang, iaitu 59 orang masih dalam perkhidmatan dan 488 orang telah bersara.

Sumbangan saguhati bernilai RM500 daripada dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) diberikan kepada setiap anggota yang diraikan manakala anggota muslim menerima tambahan RM200 daripada Tabung Zakat ATM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI