KUALA TERENGGANU – Niat untuk membaik pulih rumah bertukar mimpi ngeri buat seorang pesara apabila simpanan Tabung Hajinya berjumlah RM108,400 habis lesap diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Wanita berusia 61 tahun itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.15 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara wanita itu telah dihubungi individu tidak dikenali yang menawarkan perkhidmatan baik pulih rumah.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya telah diperdaya untuk membuka akaun bank pada Mac lalu dengan mengemukakan maklumat nombor telefon diberi suspek.
“Dia juga mengikut arahan memindahkan simpanan Tabung Hajinya berjumlah RM108,400 ke dalam akaun bank baharu tersebut,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, simpanan di dalam akaun bank baharu tersebut kemudiannya dikeluarkan secara berperingkat oleh suspek tanpa disedari wanita warga emas terbabit.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengeluaran itu dilakukan menerusi tiga transaksi ke dalam akaun bank tidak diketahui pada 10 Mac lalu.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














