fbpx
NAZIM OTHMAN

Saya masih belum puas – Nazim Othman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH bertapak sebagai anak seni sejak 15 tahun lalu bukanlah tiket untuk figura popular bernama Nazim Othman berasa selesa apatah lagi puas dengan pencapaiannya setakat ini.

Masih jauh yang perlu dikejar dan terlalu banyak hal belum didakap dalam perjalanan karier, itu yang dituturkan oleh pemilik nama penuh Nushrul Alif Othman berkenaan.

Bukan populariti mahupun kontroversi murahan dicari tetapi kepuasan dalam lakonan khususnya menerusi filem yang belum pernah digenggamnya lagi setakat ini.

Pernah ditawarkan beberapa kali untuk membintangi filem, namun semuanya perlu ditolak atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Mengakui berasa ralat, namun aktor berusia 38 tahun itu sentiasa optimis dan yakin rezeki sebegitu akan datang sendiri tanpa perlu diundang.

SUDAH pelbagai karakter dilakonkan, Nazim kini menanti peluang untuk memegang watak lebih berani serta agresif dalam setiap penyampaian emosi dan visual. – SADDAM YUSOFF

“Umur saya sudah hampir mencecah 40 tahun dan bukan budak mentah lagi.

“Pada usia sekarang pastilah perjalanan karier semakin matang dan tidak terkejar-kejar tawaran lakonan cuma masih mencari ruang untuk kepuasan diri dalam berkarya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Melanjutkan bicara, aktor tinggi lampai itu mengakui menanti peluang untuk berkarya di layar perak.

“Saya pernah menerima beberapa tawaran filem dalam satu masa yang sama tetapi semuanya terpaksa ditolak kerana jadual bertindih dengan penggambaran lain.

“Siapa yang tak mahu ke layar perak tetapi mungkin belum ada rezeki, namun saya sentiasa terbuka untuk melakukannya.

“Kalau boleh mahukan watak yang lari daripada kebiasaan dan lebih berani,” tutur anak kelahiran Labuan berkenaan.

Pun begitu akui Nazim, watak ‘lebih berani’ selalunya sensitif dengan norma masyarakat di negara ini.

KERAP diberi peranan memegang watak antagonis, Nazim tidak pernah berasa bosan apatah lagi rimas dengan tawaran sebegitu.

“Saya bukan bercakap tentang watak berkaitan babak intim tetapi karakter dan dialog serta visual yang lebih ‘open minded’.

“Saya menunggu peluang untuk platform penstriman yang lebih terbuka dan berani bermain dengan pelbagai watak menarik.

“Sebelum ini, saya pernah terima tawaran daripada beberapa platform penstriman tetapi terhalang disebabkan kesibukan jadual kerja,” kongsinya.

Sempat berkongsi rasa tentang lembaran karier lakonannya, bintang drama Monalisa itu menegaskan tiada istilah ‘main-main’ wujud dalam kamus kerjayanya.

Ungkap Nazim, kerja yang dilakukan ketika ini bukanlah demi mencari nafkah buat diri semata-mata tetapi untuk kepuasan dan kecintaan yang mendalam terhadap bidang lakonan.

“Saya tidak pergi sekolah lakonan tetapi alhamdulillah sekarang sudah 15 tahun berada dalam industri.

“Semua perkara belajar sendiri termasuklah emosi yang dikutip daripada pengalaman hidup. Saya sangat serius dalam setiap kerja dilakukan dan tidak main-main.

“Kerjaya ini bukan untuk kejar wang ringgit atau glamor tetapi lebih kepada kepuasan dan minat yang mendalam,” kongsinya lagi.

‘Lain macam’

Tutup cerita tentang isu kepuasan, Nazim kini muncul dengan buah tangan terbaharu arahan Uchee Fukada iaitu drama Isteri Halal.

Ditanya mengenai wataknya sebagai Daniel, pelakon itu sukar meletakkan kategori karakter yang dipegangnya dalam drama tersebut sama ada antagonis atau protagonis.

SEJAK bercerai dengan Bella Dally pada Mei 2018, pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini masih belum bertemu pengganti.

“Lain macam juga watak saya dalam drama ini, memang nampak seperti lelaki jahat tetapi adakalanya berbeza pula.

“Itulah cabaran untuk drama ini selain pertama kali bekerjasama dengan tiga lagi pelakon utama iaitu Isyariana, Uqasha Senrose dan Aidit Noh.

“Mereka semua pelakon yang hebat dan sangat mudah bekerjasama dan berkongsi pendapat bagi merealisasikan drama ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai jalan cerita yang dikatakan bakal mencetuskan kontroversi kerana babak intim, dia berpendapat netizen seharusnya menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian secara melulu.

“Setiap pengarah mempunyai cara tersendiri dalam mengolah jalan cerita mereka sendiri, begitu juga Uchee.

“Sebaik-baiknya tonton dahulu kemudian ambil pengajaran daripadanya berbanding terus menjatuhkan hukum. Kadang-kadang perkara negatif juga boleh menjadi sesuatu yang positif,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN