fbpx

51 peratus penduduk dunia diramal jadi gemuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki berjalan di sebuah taman di Naron, Sepanyol pada 13 September 2018. - AFP

LONDON – Satu laporan terbaharu mendapati lebih separuh daripada populasi global diramal mengalami berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2035, melainkan kerajaan-kerajaan seluruh dunia mengambil tindakan tegas untuk membendung masalah tersebut, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Kira-kira 2.6 bilion orang atau 38 peratus daripada populasi dunia kini telah pun mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes.

Berdasarkan trend semasa, bilangan penduduk yang obes dijangka meningkat kepada lebih daripada empat bilion orang atau 51 peratus dalam tempoh 12 tahun, demikian menurut penyelidikan dijalankan oleh Persekutuan Obesiti Dunia itu.

Tanpa tindakan tegas seperti cukai dan mengenakan had bagi promosi makanan tidak sihat, bilangan orang yang secara klinikal dianggap obes akan meningkat daripada seorang dalam setiap tujuh orang pada hari ini, kepada seorang dalam setiap empat orang menjelang 2035. 

Mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) pada skala 25 dinilai sebagai mempunyai berat badan berlebihan, manakala orang yang mempunyai BMI sekurang-kurangnya 30 dianggap sebagai obes. 

Bukti-bukti menunjukkan bahawa obesiti meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser, penyakit jantung dan pelbagai penyakit lain.

Sementara itu, laporan sama yang bertajuk  Atlas Obesiti Dunia itu turut mendapati bahawa obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda akan meningkat lebih cepat berbanding orang dewasa. 

Menjelang 2035, ia dijangka meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda berbanding kadar yang dilihat pada 2020.

Bilangannya dijangka meningkat sebanyak 100 peratus dalam kalangan lelaki berumur bawah umur 18 tahun, sekali gus menyebabkan seramai 208 juta orang daripada kumpulan tersebut bakal terjejas.

Bagi kumpulan remaja perempuan berusia bawah 18 tahun pula, ia diramal meningkat dengan lebih mendadak iaitu sebanyak 125 peratus, yang akan menyaksikan 175 juta daripada mereka mengalaminya.

Presiden Persekutuan Obesiti Sedunia, Profesor Laouise Baur berkata, penemuan yang ketara itu adalah amaran jelas bahawa jika dunia gagal menangani masalah obesiti ketika ini, ia berisiko memberi kesan serius pada masa depan.

“Amat membimbangkan untuk melihat kadar obesiti meningkat paling cepat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, laporan serupa turut mendedahkan bahawa banyak negara miskin kini berdepan peningkatan mendadak dalam masalah berat badan berlebihan serta paling kurang bersedia untuk menghadapi masalah itu.

Sembilan daripada 10 negara yang dijangka mengalami peningkatan terbesar dalam tahun-tahun akan datang merupakan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di Benua Afrika dan Asia.

“Kerajaan dan penggubal dasar di seluruh dunia perlu melakukan semua yang mereka mampu untuk mengelak kesan kesihatan, sosial dan ekonomi ini ‘diwariskan’ kepada generasi muda,” kata Baur. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI